mygovuc2.0 facebook Instagram new twitter youtube faqcontact complaintssitemapintranet pdpk 

 

Kerjasama perdagangan dan pelaburan berkembang stabil antara Tashkent dan Kuala Lumpur


KUALA LUMPUR: Kepelbagaian perdagangan antara Malaysia dan Uzbekistan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, menjadikan Uzbekistan kini muncul sebagai rakan dagang terbesar Malaysia di Asia Tengah.

Duta Uzbekistan ke Malaysia Ravshan Usmanov dalam satu temu bual dengan Bernama berkata, kedudukan yang strategik sebagai koridor ekonomi utama dengan infrastruktur pengangkutan yang maju membantu negara ini meningkatkan perolehan perdagangan dengan negara di rantau Asia Tenggara, termasuk Malaysia.

Secara amnya, kerjasama perdagangan dan pelaburan berkembang stabil antara Tashkent dan Kuala Lumpur, katanya.

Kedua-dua negara menjalin hubungan diplomatik pada 1992.

"Uzbekistan dan Malaysia memiliki potensi besar untuk meningkatkan kerjasama dagangan, ekonomi dan pelaburan yang saling menguntungkan.

"Menurut unjuran Kementerian Pelaburan dan Perdagangan Luar Uzbekistan, pada 2021 perolehan negara akan meningkat hingga 15 peratus. Unjuran ini disediakan berdasarkan kajian data perdagangan luar kedua-dua negara," katanya.

Perolehan perdagangan kedua-dua negara pada 2020 adalah AS$75.76 juta, menurut Jawatankuasa Statistik Uzbekistan.

Pada 2020, jumlah barang yang dieksport dari Uzbekistan ke Malaysia meningkat kepada 60.1 peratus, dianggarkan AS$11.69 juta, berbanding AS$7.3 juta pada 2019.

Jumlah barang Malaysia yang diimport ke Uzbekistan adalah AS$64.07 juta.

Import utama Uzbekistan dari Malaysia ialah minyak sawit, produk getah (termasuk sarung tangan getah), produk minyak dan gas dan industri kimia, peralatan dan instrumen pengeluaran lini, produk perabot dan barangan lain.

Katanya, eksport utama Uzbekistan ke Malaysia pula adalah baja kimia, produk pertanian, produk tekstil dan perkhidmatan.

Menurut beliau, produk pertanian adalah antara sektor pertumbuhan utama di Uzbekistan, sebuah negara yang juga pengeluar gas asli.

Sumbangan sektor pertanian makanan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2020 melebihi 40 peratus.

Sektor ini membuka peuang pekerjaan kepada kira-kira 4.2 juta orang, iaitu sekitar 30 peratus daripada jumlah pekerjaan di negara ini.

Sektor pekerjaan utama yang lain adalah industri dan perkhidmatan.

Pada 2020, eksport produk pertanian menyumbang kira-kira 10 peratus kepada pendapatan luar Uzbekistan.

Menurutnya, sektor pertanian baru-baru ini mendapat suntikan rangsangan berikutan penerapan Strategi Pembangunan Pertanian di Uzbekistan untuk 2020-2030.

Usmanov berkata, dasar dan pelaburan awam membantu Uzbekistan muncul sebagai pengeluar dan pengeksport produk pertanian makanan bernilai tinggi di Asia Tengah.

Pada masa ini, produk pertanian Uzbekistan dieksport ke 76 negara dunia.

Misalnya, eksport buah ceri Uzbekistan yang terkenal berkualiti tinggi dan kini dieksport ke 24 negara dengan pasaran eksport utama di Asia Tenggara adalah Malaysia dan Thailand.

Usmanov berkata, peningkatan jumlah kemudahan pengeluaran yang baharu ditubuhkan dan dimodenkan di Uzbekistan menepati piawaian antarabangsa, termasuk bahagian pelabur asing, memberikan peluang baik untuk membekalkan barang berkualiti tinggi dan berdaya saing ke pasaran asing, termasuk produk pertanian makanan.

-BERNAMA

https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2021/06/828541/perdagangan-malaysia-uzbekistan-semakin-kukuh
Sumber : Berita Harian