faqcontact complaintssitemap pdpk 

UCAPAN ALU-ALUAN

YB PUAN TERESA KOK
MENTERI INDUSTRI UTAMA

DI

MAJLIS PELANCARAN
PROGRAM BIODIESEL B20 DI SEKTOR PENGANGKUTAN
SECARA BERFASA DI SELURUH NEGARA

20 FEBRUARI 2020
DATARAN MERDEKA, KUALA LUMPUR

Yang Amat Berhormat Dato' Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail,
Timbalan Perdana Menteri,

Yang Berhormat Menteri-Menteri, Timbalan-Timbalan Menteri,

Yang Berbahagia Datuk Seri Ketua Setiausaha Negara,

Dif-dif Kehormat,

Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian.

Selamat pagi dan salam sejahtera.

Terlebih dahulu, izinkan saya merakamkan sekalung penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Dato' Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail atas kesudian merasmikan Majlis Pelancaran Program Biodiesel B20 di sektor pengangkutan secara berfasa di seluruh negara. Ribuan terima kasih kepada dif-dif jemputan yang turut hadir bagi memeriahkan majlis ini. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah menghulurkan kerjasama bagi menjayakan majlis pada pagi ini.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

2. Industri sawit adalah penyumbang utama sektor komoditi negara. Selain daripada menjadi sumber bahan mentah bagi pengeluaran produk-produk makanan dan bukan makanan, kegunaan minyak sawit juga telah diperluaskan sebagai bahan mentah dalam penghasilan biodiesel sawit. Hasil penyelidikan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) semenjak 1980-an membuktikan biodiesel sawit setanding dengan diesel petroleum dan merupakan sumber tenaga hijau yang mampan yang boleh mendatangkan impak positif terhadap alam sekitar.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

3. Program Biodiesel Negara telah dilaksanakan secara komersial pada Jun 2011, bermula dengan Program B5 (5% biodiesel sawit, 95% diesel petroleum) dan seterusnya Program B7 secara berfasa di sektor pengangkutan (stesen minyak, perikanan, pengguna fleet, tangki skid bagi syarikat pengangkutan dan bot penumpang (Sabah dan Sarawak sahaja)). Pada 11 Disember 2018 yang lepas, YAB Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah berbesar hati melancarkan Program B10 di sektor pengangkutan. Pelaksanaan Program B10 di sektor pengangkutan telah dilaksanakan secara mandatori bermula 1 Februari 2019 dan Program B7 di sektor industri pada 1 Julai 2019. Pelaksanaan kedua-dua program ini telah menggalakkan penggunaan minyak sawit domestik sebanyak 760,000 tan setahun yang menyumbang kepada pengurangan pelepasan gas rumah kaca (GHG) sebanyak 2.2 juta tan CO2 setara setahun. Pada hari ini, Kerajaan mengorak langkah meningkatkan kadar adunan daripada B10 kepada B20 dengan pelaksanaan Program Biodiesel B20 di sektor pengangkutan secara berfasa di seluruh negara.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

4. Kementerian Industri Utama (MPI) dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah merancang dan melaksanakan Program Biodiesel B20 di sektor pengangkutan, termasuk menjalankan ujian lapangan B20 bagi pengumpulan data teknikal, menyelaras sesi konsultasi teknikal bersama pihak-pihak berkepentingan dan mengendalikan pelan komunikasi.

5. Sebagai persediaan untuk melaksanakan Program Biodiesel B20 di sektor pengangkutan, MPI bersama-sama MPOB bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan seperti lima (5) Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor iaitu Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah menjalankan ujian lapangan penggunaan B20. Terdapat juga pengeluar/pengedar kenderaan seperti Tan Chong Industrial Equipment (TCIE) dan Hyundai Sime Darby Motors serta syarikat pengangkutan seperti FGV Transport Services Sdn Bhd dan SOP Transport Sdn. Bhd. turut terlibat dengan percubaan B20. Kenderaan MPI dan MPOB sendiri sebanyak 35 unit berpusat di Putrajaya dan Ibu Pejabat MPOB turut menggunakan B20 bermula Jun 2019 tanpa sebarang masalah dilaporkan sehingga kini.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

6. DBKL telah bekerjasama dengan MPOB dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) penggunaan biodiesel semenjak tahun 2008 bermula dengan B5 dan seterusnya B10 bermula tahun 2014. Data teknikal B10 yang dikumpul ini telah menyakinkan Kerajaan untuk melaksanakan program B10 di seluruh negara. Pada Mei 2019, DBKL telah memperuntukkan sebuah lori bagi menjalankan ujian lapangan menggunakan 100% biodiesel sawit. Sehingga kini, lori B100 masih lagi digunakan oleh pihak DBKL. Untuk terus menyokong usaha Kementerian dalam menerajui penggunaan biodiesel dan juga untuk mencapai inspirasi “low carbon city” oleh DBKL, saya difahamkan DBKL akan memulakan ujian lapangan B30 bersama MPOB pada bulan Jun 2020 dengan memperuntukkan 30 hingga 50 unit kenderaan diesel. Usaha DBKL untuk membantu kerajaan dalam mengumpul data teknikal B30 ini adalah amat dihargai.

7. Sementara itu, Hubungan baik antara Kementerian, MPOB dan Japan Automobile Manufacturers Association (JAMA) turut diteruskan dengan kajian adunan B20 bagi kenderaan berteknologi Euro 5 dengan usahasama pakar automotif dari Mazda Malaysia dan Institut Automotif Robotik dan IoT Malaysia (MARii) serta sokongan daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS). Apa yang membanggakan, kajian ini merupakan kajian pertama yang dijalankan oleh JAMA terhadap kenderaan jenis Euro 5. Kajian ini terbahagi kepada dua iaitu kajian makmal di Institut Penyelidikan Automotif Jepun (JARI) yang dijangka siap pada April 2020 dan kajian lapangan menggunakan dua (2) buah kereta Mazda CX-5 di Malaysia.

8. Saya juga ingin mengambil kesempatan disini untuk mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Standard Malaysia kerana telah berjaya membangunkan dua (2) Malaysian Standards (MS) baru iaitu MS123-4:2020 High PME diesel fuel - Specification - Euro 2M dan MS123-5:2020 High PME diesel fuel - Specification - Euro 5. Pembangunan standard tersebut sudah pastinya akan menyokong pelaksanaan Program Biodiesel B20 Sektor Pengangkutan di bawah MPI di mana ia akan menjadi panduan dan rujukan kepada pihak industri, seterusnya meningkatkan keyakinan pengguna.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

9. Bagi menyediakan Malaysia untuk pelaksanaan program B30 pada masa hadapan, Kementerian dan MPOB turut menjalankan penyelidikan menggunakan kadar adunan biodiesel melebihi B20. MPOB turut sedang menjalankan kajian penggunaan B30 dengan enam (6) universiti tempatan iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknikal Melaka (UTeM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL MFI) dan Universiti Nottingham cawangan Malaysia.

10. Jika dilihat perkembangan penggunaan biodiesel sawit di negara Indonesia, Indonesia telah melaksanakan program B20 iaitu adunan 20% biodiesel sawit dengan 80% diesel petroleum secara mandatori semenjak Januari 2016 pada sektor pengangkutan tanpa sebarang masalah pada enjin kenderaan dilaporkan sehingga kini. Persatuan Pengeluar Automotif Jepun (JAMA) turut telah mengumumkan sokongan terhadap penggunaan biodiesel sawit dalam diesel petroleum pada kadar adunan maksima 20% pada Disember 2016.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

11. Pelaksanaan penggunaan biodiesel sawit adalah langkah strategik Kerajaan melalui Kementerian Industri Utama bagi memastikan pengukuhan dan kestabilan harga minyak sawit dalam jangka panjang. Penggunaan biodiesel sawit turut akan menyumbang kepada kemampanan dan meningkatkan imej industri sawit negara berikutan Malaysia melaksanakan amalan-amalan yang mesra alam di samping dikawal selia dengan pelbagai perundangan dan peraturan yang membolehkan pembangunan industri yang mampan. Selain itu, penggunaan biodiesel sawit secara komersial dalam negara akan dapat mengurangkan penggunaan bahan api berasaskan fosil sekaligus mengurangkan pelepasan gas rumah kaca (greenhouse house gas – GHG) yang menyebabkan pemanasan global.

12. Akhir kata, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk sekali lagi merakamkan penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Dato' Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail kerana sudi menyempurnakan majlis pelancaran Program Biodiesel B20 di sektor pengangkutan secara berfasa di seluruh negara serta mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir pada hari ini.

Sekian, terima kasih.

KEMENTERIAN INDUSTRI UTAMA
20 FEBRUARI 2020