faqcontact complaintssitemapintranet pdpk 

jata4

UCAPAN YB PUAN TERESA KOK, MENTERI INDUSTRI UTAMA
MAJLIS TAKLIMAT MSPO DAN SESI DIALOG BERSAMA PENANAM SAWIT PAHANG
5 NOVEMBER 2019 (SELASA), 3.30 – 5.00 PETANG
DI KOMPLEKS DAGANGAN MAHKOTA, KUANTAN PAHANG


Yang Berhormat Dato’ Mohd Fadil Osman (TBC)
EXCO Alam Sekitar dan Perladangan Negeri Pahang,
merangkap ADUN Kemayan, Pahang

Yang Berusaha Encik Ravi Muthayah
Timbalan Ketua Setiausaha Komoditi
Kementerian Industri Utama

Yang Berusaha Encik Chew Jit Seng
Ketua Pegawai Eksekutif
Majlis Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MPOCC)

Yang Berusaha Dr. Ramle Moslim
Pengarah
Bahagian Penyelidikan Integrasi & Pengembangan
Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB)

Yang Berbahagia Dif-Dif Jemputan

Rakan-Rakan Media

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian

Salam Sejahtera dan Salam Sayangi Sawitku

Terlebih dahulu saya ingin merakamkan penghargaan kepada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Majlis Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MPOCC) atas usaha menganjurkan Majlis Taklimat Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan Sesi Dialog bersama penanam sawit dan pekebun kecil di Pahang. Saya juga ingin merakamkan perhargaan kepada tuan-tuan dan puan-puan yang sudi hadir pada petang ini.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

2. Kerajaan sentiasa memberi tumpuan kepada usaha mengukuhkan industri sawit terutamanya memperkasakan pembangunan pekebun kecil dan penanam sawit bagi meningkatkan hasil pengeluaran dan seterusnya pendapatan. Matlamat ini dapat dicapai melalui penyertaan aktif pekebun kecil dan penanam sawit dalam melaksanakan amalan pertanian baik melalui pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia atau Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO).

3. Pelaksanaan Skim Pensijilan MSPO adalah langkah strategik bagi meningkatkan daya saing dan memperkukuhkan imej industri sawit negara. Ini adalah selari dengan keutamaan negara-negara pengimport dan pengguna di seluruh dunia yang semakin memberi tumpuan kepada produk pertanian yang dihasilkan melalui pengeluaran mampan dan selamat untuk pemakanan. Oleh itu, Skim Pensijilan MSPO akan memastikan industri sawit negara yang lebih mampan dan kompetitif, sekaligus turut membantu meningkatkan pendapatan para pengusaha sawit negara.

Tuan-tuan dan puan-puan,

4. Kementerian bersama agensi di bawahnya iaitu MPOB dan MPOCC sedang giat mempertingkatkan penyertaan pekebun kecil, penanam sawit dan pengusaha sawit lain seperti kilang-kilang pemprosesan minyak sawit bagi mematuhi prinsip-prinsip kemampanan pensijilan MSPO. Usaha sedang dipergiatkan oleh MPOB bagi meningkatkan penyertaan pekebun kecil persendirian (PKP) melalui Kelompok Minyak Sawit Mampan atau Sustainable Palm Oil Cluster (SPOC) di 9 buah SPOC di seluruh negeri Pahang di mana para PKP akan dibantu oleh Pegawai TUNAS dari Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) untuk melaksanakan penanaman sawit secara terurus, mendirikan infrastruktur yang sesuai seperti stor penyimpanan racun dan baja, mendapatkan kelengkapan-kelengkapan Personal Protection Equipment (PPE) serta membantu dalam mengurus dan menyediakan dokumentasi pensijilan yang berkaitan bagi mendapatkan pensijilan MSPO kebun sawit secara berkelompok. Usaha pensijilan MSPO oleh para pekebun kecil, termasuk di bawah agensi-agensi kerajaan seperti FELDA, FELCRA, RISDA dan sebagainya, akan menjamin peningkatan produktiviti dan kualiti hasil buah sawit yang lebih tinggi. Selain itu, Kerajaan juga tetap prihatin terhadap pencapaian pengusaha-pengusaha sawit yang lain seperti estet, ladang dan kilang buah sawit untuk mendapat pensijilan MSPO.

5. Untuk makluman, sehingga 30 September 2019, seluas
3.19 juta hektar atau 55% daripada 5.85 juta hektar tanaman sawit di Malaysia telah mendapat pensijilan MSPO. Pensijilan ini meliputi kawasan estet dan ladang seluas 2.71 juta hektar ladang dan sebanyak 475,000 hektar milikan pekebun kecil. Manakala, kilang buah sawit yang telah mendapat pensijilan MSPO adalah sebanyak 313 buah kilang atau 70% daripada keseluruhan kilang buah sawit di Malaysia. Selain itu, dalam tempoh yang sama, 139 daripada sejumlah 162 Kelompok Minyak Sawit Mampan (SPOC) di seluruh negara telah mendapat pensijilan MSPO yang melibatkan penyertaan 16,000 orang PKP yang memiliki keluasan kawasan penanaman sawit seluas 62,600 hektar.

6. Bagi negeri Pahang, sukacita saya memaklumkan bahawa 8 daripada 9 SPOC di negeri ini telah dipersijilkan MSPO. Ini melibatkan seramai 776 orang PKP dengan keluasan tanah seluas 1,900 hektar. Walau bagaimanapun, keluasan yang dipersijilkan ini masih sangat rendah iaitu hanya 3.7% daripada keseluruhan 53,000 hektar yang menjadi kawasan tanaman sawit PKP di negeri Pahang.

7. Saya dimaklumkan bahawa antara punca ini berlaku adalah perlunya tuan-tuan pekebun kecil untuk menukarkan syarat nyata tanah dengan kerajaan negeri dan ini memakan kos yang agak tinggi. Sehubungan itu, Kerajaan telah memudahcara tuan-tuan pekebun kecil dengan menanggung kos permohonan. Sukacita juga dimaklumkan, Kementerian saya juga telah berbincang dengan YAB Menteri Besar dan Kerajaan Negeri Pahang mengenai kadar premium dan denda yang dikenakan ke atas para pekebun kecil yang mahu menukar syarat tanah mereka.

Tuan-tuan dan puan-puan,

8. Kerajaan amat prihatin terhadap kos yang ditanggung oleh pekebun kecil bagi membiayai pelaksanaan pensijilan MSPO. Dalam hal ini, Kerajaan telah turut menyediakan insentif bagi bantuan kepada pekebun kecil persendirian melaksanakan pensijilan MSPO yang merangkumi antaranya kos yuran pensijilan MSPO, latihan berkaitan MSPO, penyediaan rak penyimpanan bahan kimia dan peralatan perlindungan diri (PPE). Bagi memacu usaha pensijilan MSPO, Kerajaan telah melanjutkan tarikh permohonan insentif MSPO dari 30 Jun 2019 ke 31 Disember 2019 kepada semua pengusaha sawit.

9. Kerajaan juga telah meningkatkan kadar insentif kos pengauditan MSPO daripada 70% kepada 100% dan memberi insentif baharu kos persediaan MSPO sebanyak 50% bagi estet berkeluasan 40.46 hingga 1000 hektar. Insentif bagi pekebun kecil tersusun juga telah ditingkatkan daripada RM10 se hektar kepada RM55 se hektar. Dengan adanya penambahbaikan insentif-insentif dan usaha Kerajaan ini, diharap proses pensijilan MSPO tuan-tuan dan puan-puan dapat dipermudahkan.

Tuan-tuan dan puan-puan,

10. Sebelum saya akhiri ucapan, sekali lagi saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan kepada tuan-tuan dan puan-puan yang sudi meluangkan masa untuk bersama-sama dengan saya bagi menjayakan program pada petang ini. Saya cukup yakin bahawa penglibatan semua pihak pengusaha sawit dengan memanfaatkan bantuan yang diberikan oleh kerajaan dan kesediaan melaksanakan penanaman dan pengeluaran sawit secara mampan akan memberi pulangan hasil dan pendapatan yang lumayan kepada semua. Dengan harapan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Taklimat Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan sesi dialog bersama penanam sawit di Kuantan, Pahang pada petang ini.

Sekian, terima kasih

Kementerian Industri Utama
5 November 2019