faqcontact complaintssitemap pdpk 

TEKS UCAPAN YB DATUK SERI SHAMSUL ISKANDAR BIN MOHD AKIN, TIMBALAN MENTERI INDUSTRI UTAMA 
MAJLIS TAKLIMAT MSPO DAN SESI DIALOG BERSAMA PENANAM SAWIT MELAKA
13 JULAI 2019 (SABTU) 11.00 PAGI – 12.00 TENGAHARI
DI DEWAN LAMAN DERIS RTC SG. RAMBAI, JASIN, MELAKA


Yang Berusaha Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir
Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan dan Pembangunan)
Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB)

Yang Berusaha Encik Encik Chew Jit Seng
Ketua Pegawai Eksekutif
Majlis Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MPOCC)

1. Terima kasih penganjur Majlis Taklimat Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan Sesi Dialog bersama penanam sawit dan pekebun kecil di Jasin, Melaka. - Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Majlis Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MPOCC)

Sireh kuning diberi nama
Sireh tanya beserta cincin
Hidup berunding muafakat bersama
Bangsa mulia budaya dijamin

2. Kerajaan memberi tumpuan kepada usaha memperkasakan pembangunan pekebun kecil bagi meningkatkan hasil pengeluaran dan seterusnya pendapatan. Matlamat hanya dapat dicapai melalui penyertaan aktif pekebun kecil dalam melaksanakan amalan pertanian baik dan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia atau Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO) dalam penanaman sawit.

3. Kerajaan menetapkan pelaksanaan mandatori pensijilan MSPO yang melibatkan semua pihak dalam industri sawit termasuk pekebun kecil, pengusaha ladang dan pihak pengilang buah sawit bagi memastikan minyak sawit Malaysia dihasilkan melalui pengeluaran mampan.

4. Penanaman sawit secara komersial lebih 100 tahun telah menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara dan memberi sumber pendapatan kepada penduduk luar bandar.

5. Kemajuan pesat industri sawit meliputi sektor perladangan, pengilangan dan pemprosesan menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih 4 juta penduduk dan setengah juta pekebun kecil yang mengusahakan tanaman sawit.

6. Pekebun kecil memainkan peranan penting dalam ekonomi negara dengan menyumbang hampir 40% daripada jumlah pengeluaran minyak sawit negara sebanyak 19.52 juta tan pada tahun 2018.

7. Negara sedang diserang dengan pelbagai isu yang boleh menggugat pasaran produk sawit. Isu kemampanan dan alam sekitar yang mengaitkan penanaman sawit dengan kemusnahan hutan dan ancaman habitat hidupan liar. Tohmahan telah menjejaskan imej minyak sawit negara dan pasaran ke luar negara.

8. Untuk menangkis tohmahan dan serangan, Kerajaan melaksanakan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) bagi memastikan penanaman sawit menepati peraturan alam sekitar dan Amalan Pertanian Baik yang di terima di peringkat antarabangsa.

9. Pengeluaran minyak sawit secara mampan penting bagi perdagangan global minyak sawit kerana negara-negara maju memberi keutamaan kepada negara pengeluar minyak sawit yang dihasilkan secara mampan.

10. Pelaksanaan pensijilan MSPO yang berlandaskan peraturan dan amalan pengeluaran minyak sawit mampan akan memberi manfaat kepada penanam sawit dan pekebun kecil.

11. Agensi Kementerian seperti MPOB dan MPOCC giat mempertingkatkan penyertaan pekebun kecil dan pengusaha sawit bagi mematuhi prinsip-prinsip kemampanan pensijilan MSPO. Usaha sedang dipergiatkan oleh MPOB bagi meningkatkan penyertaan pekebun kecil persendirian melalui Kelompok Minyak Sawit Mampan (SPOC).

12. Pekebun kecil yang menyertai SPOC akan dibantu oleh Pegawai TUNAS untuk melaksanakan Amalan Pertanian Baik bagi pensijilan
MSPO kebun sawit secara berkelompok. Pensijilan MSPO oleh pekebun kecil akan menjamin peningkatan produktiviti dan kualiti hasil buah sawit yang seterusnya menyumbang kepada peningkatan pendapatan pekebun kecil.

13. Sehingga 31 Mei 2019, seluas 2.13 juta hektar atau 36% daripada 5.85 juta hektar tanaman sawit di Malaysia telah mendapat pensijilan MSPO. Bagi negeri Melaka, secara khususnya seluas 27,913 hektar atau 49% daripada 56,811 hektar tanaman sawit di Melaka telah mendapat pensijilan MSPO.

14. Keluasan pekebun kecil persendirian yang mendapat pensijilan MSPO di Melaka masih sangat rendah iaitu seluas 295 hektar atau 2.2% daripada keseluruhan tanaman sawit pekebun kecil persendirian di Melaka.

15. Kerajaan prihatin terhadap kos yang ditanggung oleh pekebun kecil bagi membiayai pelaksanaan pensijilan MSPO. Kerajaan telah menyediakan insentif sebanyak RM30 juta bagi bantuan kepada pekebun kecil melaksanakan pensijilan MSPO yang merangkumi kos yuran pensijilan MSPO, latihan berkaitan MSPO, penyediaan rak penyimpanan bahan kimia dan peralatan perlindungan diri (PPE).

16. Berikutan tarikh mandatori MSPO yang semakin hampir, Kerajaan telah bersetuju untuk melanjutkan tarikh permohonan insentif MSPO dari 30 Jun 2019 ke 31 Disember 2019 kepada semua pengusaha sawit 17. Kerajaan juga akan meningkatkan kadar insentif kos pengauditan MSPO daripada 70% kepada 100% dan memberi insentif baharu kos persediaan MSPO sebanyak 50% bagi estet berkeluasan 40.46 hingga 1000 hektar. Insentif bagi pekebun kecil tersusun juga akan ditingkatkan daripada RM10 ringgit se hektar kepada RM55 ringgit se hektar.

18. MPOB telah menubuhkan Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM). Penyertaan pekebun kecil dalam KPSM bertujuan meningkatkan produktiviti tanaman sawit dan pendapatan melalui pelaksanaan Amalan Pertanian Baik dan pelaksanaan aktiviti ekonomi yang menyumbang kepada peningkatan pendapatan.

19. MPOB membantu pekebun kecil meningkatkan produktviti dan pengeluaran hasil kebun sawit menerusi amalan mekanisasi ladang atau farm mechanization menerusi penggunaan mesin yang berupaya meningkatkan produktiviti tuaian sebanyak dua kali ganda.

20. Pekebun kecil diberi pendedahan menerusi majlis penerangan, kursus dan ceramah bagi menggalakkan penuaian buah sawit berkualiti termasuk penggredan buah sawit, penetapan kadar perahan minyak dan pengiraan harga buah sawit.

21. Pekebun kecil perlu mematuhi peraturan pelesenan MPOB dengan memohon atau memperbaharui lesen untuk menjual buah sawit kepada peniaga dan pengilang. Lesen pekebun kecil oleh MPOB adalah percuma dan boleh dipohon atau diperbaharui di pejabat MPOB atau melalui on-line.

22. Soalan popular di Dewan Rakyat - “apakah langkah-langkah yang telah Kerajaan laksanakan bagi menstabilkan harga sawit?” Kerajaan
sentiasa memantau dan memberi keutamaan bagi membantu pekebun kecil yang terjejas pendapatan.

23. Bagi menstabilkan harga sawit, Kerajaan telah mengambil langkah-langkah meneroka pasaran baharu meliputi negara Afrika dan negara-negara rantau Asia Tenggara.

24. Meneroka pasaran di negara-negara “stan” seperti Kazakhstan, Kyrgyzstan, Uzbekistan, Turkmenistan serta Tajikistan.

25. Mengukuhkan pasaran sedia ada seperti di India, China, Pakistan dan juga Negara-negara Kesatuan Eropah.

26. Melaksanakan penggunaan adunan biodiesel sawit daripada 7% kepada 10% bagi kegunaan semua kenderaan enjin diesel di sektor
pengangkutan di seluruh negara bermula 1 Februari lalu.

27. Melaksanakan penggunaan adunan biodiesel sawit B7 secara mandatori di sektor industri bermula 1 Julai 2019. Penggunaan biodiesel sawit dijangka mengurangkan stok minyak sawit - menstabilkan harga sawit di pasaran.

28. Melancarkan Kempen “Sayangi Sawitku” bagi memupuk kecintaan dan kebanggaan rakyat kepada industri sawit dan penggunaan produksawit untuk sektor makanan dan bukan makanan.

29. Akhiri ucapan - merakamkan penghargaan bagi menjayakan program pada hari ini. Yakin bahawa penglibatan semua pihak terutama pekebun kecil dan pengusaha sawit dengan memanfaatkan bantuan kerajaan dan kesediaan melaksanakan penanaman sawit secara mampan, akan memberi pulangan hasil dan pendapatan yang lumayan kepada pengusaha sawit.

30. Memetik kata-kata seorang penulis dan ulama terkenal Indonesia Prof. Dr. Abdul Malik Amrullah ataupun lebih terkenal sebagai Buya Hamka;“Jangan takut jatuh, karena yang tidak pernah memanjatlah yang tidak pernah jatuh.

Jangan takut gagal, karena yang tidak pernah gagal hanyalah orang-orang yang tidak pernah melangkah.

Jangan takut salah, karena dengan kesalahan yang pertama kita dapat menambah pengetahuan untuk mencari jalan yang benar pada langkah yang kedua”.

31. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Taklimat Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan sesi dialog bersama penanam sawit dan pekebun kecil di Jasin, Melaka pada pagi ini.

Sekian, terima kasih

Kementerian Industri Utama
13 Julai 2019