mygovuc2.0 facebook Instagram new twitter  faqcontact complaintssitemapintranet pdpk 

 

KENYATAAN MEDIA

 MEMPERKASAKAN INDUSTRI GETAH DAN PENGGALAKAN RAKYAT MALAYSIA BEKERJA DI SEKTOR HILIRAN GETAH

 

1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) amat prihatin dengan keadaan ekonomi rakyat dan negara akibat penularan wabak COVID-19.

2. Sebagai usaha mengembalikan kerancakan ekonomi negara, KPPK yakin eksport sarung tangan getah berpotensi besar untuk terus berkembang sehingga 25 peratus mengambil kira situasi semasa COVID-19 yang melanda dunia. Malaysia yang menguasai 65 peratus pasaran sarung tangan getah dunia dijangka akan terus kekal sebagai pengeluar utama berikutan lonjakan permintaan terhadap sarung tangan getah perubatan.

3. Dalam pada itu, selaras dengan tanggungjawab mempromosi barangan getah negara di pasaran domestik dan global, Majlis Promosi Eksport Getah Malaysia (MREPC), iaitu agensi di bawah KPPK, akan dijenamakan semula sebagai Majlis Getah Malaysia (MRC). Ia mencerminkan peranan agensi yang lebih luas dalam pembangunan industri hiliran berasaskan getah, modal insan dan adaptasi teknologi termaju serta promosi pelaburan industri getah negara.

4. Sejajar dengan dasar baharu Kerajaan yang mengutamakan pewujudan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing, MRC akan menubuhkan dana khas berjumlah RM36 juta bagi menggalakkan industri hiliran terutamanya sektor pengeluaran sarung tangan getah untuk mengambil lebih ramai pekerja tempatan.

5. Dana berkenaan menyasarkan pengambilan sekurang-kurangnya 10,000 pekerja tempatan dalam lebih daripada 200 buah syarikat di sektor industri getah. Dana khas terbabit, akan dibuka kepada syarikat pembuatan berasaskan getah untuk menggiatkan lagi mengupah pekerja tempatan mulai Ogos 2020 sehingga Disember 2021.

6. Kementerian terus komited dalam memperkasakan industri getah negara dan memastikan industri ini terus menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara dan kesejahteraan hidup rakyat Malaysia.

 

YB DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi
Kuala Lumpur
4 Ogos 2020

 

 

 

 

 

 

 

 

2