mygovuc2.0 facebook Instagram new twitter  faqcontact complaintssitemapintranet pdpk 

 

KENYATAAN MEDIA

HOSPITAL SELAYANG TERIMA SUMBANGAN MESIN VENTILATOR DAN KIT UJIAN (TEST KIT) COVID-19 BERNILAI RM334,000

 

1. Sektor perladangan dan industri sawit negara sentiasa prihatin dengan usaha kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam membendung penularan wabak pendamik COVID-19 yang melanda negara dan seluruh dunia ketika ini.

2. Sebagai tanda sokongan berterusan dan meringankan beban kerajaan, Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) melalui Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) hari ini menyumbangkan dua unit ICU Ventilator model Elisa bernilai RM240,000 dan Kit Ujian (Test-Kit) COVID-19 sebanyak 2,000 set menjadikan jumlah nilai keseluruhan sumbangan adalah RM334,000.

3. Sumbangan berkenaan disampaikan oleh YB Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dengan disaksikan oleh Datuk Mohamad Nageeb Ahmad Abdul Wahab, Ketua Eksekutif MPOA kepada Pengarah Hospital Selayang, Dr. Sakinah Alwi.

4. Untuk rekod, MPOA sebelum ini telah menubuhkan Tabung COVID-19 pada peringkat awal penularan wabak berkenaan dalam usaha untuk menyalurkan sumbangan bagi membantu dan menyokong usaha kerajaan serta KKM daripada sektor perladangan dan industri sawit negara.

5. Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP), MPOA telah menyalurkan beberapa sumbangan berupa peralatan perubatan seperti Ventilator, Kit Ujian COVID-19, sanitasi tangan, pelitup muka, barangan kesihatan dan beg makanan kepada KPPK selain beberapa buah hospital di bawah KKM seperti Hospital Kuala Lumpur (10 April 2020) dan Hospital Serdang (26 Mac 2020) yang kesemuanya bernilai RM5.16 juta.

6. Dengan sumbangan berkenaan, KPPK dan MPOA berharap ia dapat membantu pihak hospital dalam membendung dan merawat pesakit COVID-19 di negara ini.

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Selayang, Selangor
4 Ogos 2020