faqcontact complaintssitemapintranet pdpk 

 

 

KENYATAAN MEDIA
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI

USAHA MENCARI JALAN PENYELESAIAN ISU PENUTUPAN KILANG MARDEC PROCESSING SDN BHD, KUALA BERANG, TERENGGANU

 

1. Saya mengambil perhatian kepada berita cadangan penutupan operasi kilang getah MARDEC Processing Sdn Bhd di Kuala Berang, Terengganu. Penutupan operasi kilang tersebut yang mempunyai kapasiti memproses lebih 2,000 tan sebulan akan memberi impak kepada aktivti-aktiviti pengeluaran dan pemprosesan getah yang melibatkan pekebun-pekebun kecil di kawasan sekitar Hulu Terengganu selain menyebabkan lebih 110 orang pekerja kilang hilang pekerjaan.

2. LGM sebagai agensi di bawah Kementerian saya yang bertanggungjawab kepada kawal selia, operasi dan khidmat teknikal kepada sektor pemprosesan getah melihat cadangan penutupan Kilang MARDEC Processing Sdn Bhd, Kuala Berang akan memberi impak kepada aktiviti pengeluaran dan penjualan getah pekebun kecil yang akan menjejaskan pendapatan mereka.

3. Rekod LGM menunjukkan bahawa terdapat lebih daripada 2,700 pekebun kecil di Hulu Terengganu dan juga akan mempunyai kesan secara tidak langsung kepada 19,350 pekebun kecil di seluruh Terengganu.

4. Kementerian menerusi LGM bersedia memberi khidmat teknikal dan membantu pihak Pengurusan MARDEC Berhad untuk membuat kajian menyeluruh dengan maklumat berkaitan bagi mengenalpasti masalah operasi kilang dan punca-punca yang menyebabkan Kilang MARDEC Kuala Berang mengalami kerugian dan seterusnya tidak dapat meneruskan operasi. Ini adalah bertujuan memastikan kilang tersebut dapat meningkatkan daya saing dan terus beroperasi untuk memproses getah yang dihasilkan di Hulu Terengganu dan juga di seluruh Negeri Terengganu.

YB Dato’ Dr Mohd Khairuddin Bin Aman Razali
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi
29 Jun 2020