faqcontact complaintssitemapintranet pdpk 

SIARAN MEDIA 2020

 

KENYATAAN MEDIA

 MEMPERKASAKAN INDUSTRI GETAH DAN PENGGALAKAN RAKYAT MALAYSIA BEKERJA DI SEKTOR HILIRAN GETAH

 

1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) amat prihatin dengan keadaan ekonomi rakyat dan negara akibat penularan wabak COVID-19.

2. Sebagai usaha mengembalikan kerancakan ekonomi negara, KPPK yakin eksport sarung tangan getah berpotensi besar untuk terus berkembang sehingga 25 peratus mengambil kira situasi semasa COVID-19 yang melanda dunia. Malaysia yang menguasai 65 peratus pasaran sarung tangan getah dunia dijangka akan terus kekal sebagai pengeluar utama berikutan lonjakan permintaan terhadap sarung tangan getah perubatan.

3. Dalam pada itu, selaras dengan tanggungjawab mempromosi barangan getah negara di pasaran domestik dan global, Majlis Promosi Eksport Getah Malaysia (MREPC), iaitu agensi di bawah KPPK, akan dijenamakan semula sebagai Majlis Getah Malaysia (MRC). Ia mencerminkan peranan agensi yang lebih luas dalam pembangunan industri hiliran berasaskan getah, modal insan dan adaptasi teknologi termaju serta promosi pelaburan industri getah negara.

4. Sejajar dengan dasar baharu Kerajaan yang mengutamakan pewujudan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing, MRC akan menubuhkan dana khas berjumlah RM36 juta bagi menggalakkan industri hiliran terutamanya sektor pengeluaran sarung tangan getah untuk mengambil lebih ramai pekerja tempatan.

5. Dana berkenaan menyasarkan pengambilan sekurang-kurangnya 10,000 pekerja tempatan dalam lebih daripada 200 buah syarikat di sektor industri getah. Dana khas terbabit, akan dibuka kepada syarikat pembuatan berasaskan getah untuk menggiatkan lagi mengupah pekerja tempatan mulai Ogos 2020 sehingga Disember 2021.

6. Kementerian terus komited dalam memperkasakan industri getah negara dan memastikan industri ini terus menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara dan kesejahteraan hidup rakyat Malaysia.

 

YB DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi
Kuala Lumpur
4 Ogos 2020

 

 

 

 

 

 

 

 

2

 

KENYATAAN MEDIA

HOSPITAL SELAYANG TERIMA SUMBANGAN MESIN VENTILATOR DAN KIT UJIAN (TEST KIT) COVID-19 BERNILAI RM334,000

 

1. Sektor perladangan dan industri sawit negara sentiasa prihatin dengan usaha kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam membendung penularan wabak pendamik COVID-19 yang melanda negara dan seluruh dunia ketika ini.

2. Sebagai tanda sokongan berterusan dan meringankan beban kerajaan, Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) melalui Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) hari ini menyumbangkan dua unit ICU Ventilator model Elisa bernilai RM240,000 dan Kit Ujian (Test-Kit) COVID-19 sebanyak 2,000 set menjadikan jumlah nilai keseluruhan sumbangan adalah RM334,000.

3. Sumbangan berkenaan disampaikan oleh YB Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dengan disaksikan oleh Datuk Mohamad Nageeb Ahmad Abdul Wahab, Ketua Eksekutif MPOA kepada Pengarah Hospital Selayang, Dr. Sakinah Alwi.

4. Untuk rekod, MPOA sebelum ini telah menubuhkan Tabung COVID-19 pada peringkat awal penularan wabak berkenaan dalam usaha untuk menyalurkan sumbangan bagi membantu dan menyokong usaha kerajaan serta KKM daripada sektor perladangan dan industri sawit negara.

5. Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP), MPOA telah menyalurkan beberapa sumbangan berupa peralatan perubatan seperti Ventilator, Kit Ujian COVID-19, sanitasi tangan, pelitup muka, barangan kesihatan dan beg makanan kepada KPPK selain beberapa buah hospital di bawah KKM seperti Hospital Kuala Lumpur (10 April 2020) dan Hospital Serdang (26 Mac 2020) yang kesemuanya bernilai RM5.16 juta.

6. Dengan sumbangan berkenaan, KPPK dan MPOA berharap ia dapat membantu pihak hospital dalam membendung dan merawat pesakit COVID-19 di negara ini.

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Selayang, Selangor
4 Ogos 2020

 

KENYATAAN MEDIA

SISTEM BAMBOO STICK DAN DRIPPING KAEDAH INOKULASI TERBAIK PENGHASILAN GAHARU

1. Lawatan kerja YB Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) ke Ladang Karas, Jasin di Melaka adalah untuk melihat kaedah inokulasi terbaik berdasarkan sample kajian yang dilakukan ladang ini sejak November 2017. Kajian telah dilakukan ke atas 100 batang pokok oleh dua penyelidik dengan keseluruhan peruntukan berjumlah RM100,000. Kos yang dibelanjakan untuk inokulasi adalah RM210 per pokok.

2. Berdasarkan kajian tersebut, kaedah inokulasi terbaik adalah menggunakan sistem Bamboo Stick dan Dripping berbanding beberapa kaedah inokulasi lain seperti:-
i. Direct Induce menggunakan chemjet
ii. Bag Dripping System
iii. Bottle Inducement
Kedua-dua kaedah tersebut dilihat paling berkesan dan menghasilkan kuantiti Gaharu paling optimum dengan kos yang efektif. Ini dapat dilihat dengan penghasilan Gaharu teras secara purata sebanyak 5kg bagi setiap pokok dengan nilai jualan pasaran RM800/kg.
3. Setelah dua tahun MTIB dengan kerjasama UPEN Melaka melakukan kajian inokulasi itu mulai 2017, kini hasil yang komprehensif berkaitan penghasilan Gaharu dan pati minyak Gaharu (PMG) bagi setiap kaedah tersebut. Langkah ini seterusnya akan memanfaatkan penanam-penanam Karas bagi menjalankan proses inokulasi terbaik bagi penghasilan Gaharu.

4. Diharapkan perkembangan ini dapat dimanfaatkan oleh para usahawan Gaharu yang aktif di Malaysia. Jumlah pengeksport/pengimport Gaharu yang berdaftar dengan MTIB adalah sebanyak 13 syarikat, 22 syarikat/individu telah direkodkan sebagai PMG dan lebih 50 syarikat telah dikenal pasti sebagai pengusaha produk Gaharu di seluruh Malaysia.

5. Hasil kajian ini akan dijadikan penanda aras serta rujukan bagi MTIB dan Kementerian untuk merangsang pertumbuhan industri Gaharu di Malaysia khususnya menerusi Projek Bantuan Inokulasi yang telah dirangka di bawah Rancangan Malaysia ke-12 yang mana jika diluluskan akan memanfaatkan hampir 500 pengusaha Karas dan Gaharu di negara ini kelak.

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Jasin, Melaka
15 Julai 2020

 

 

 

KENYATAAN MEDIA
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI

USAHA MENCARI JALAN PENYELESAIAN ISU PENUTUPAN KILANG MARDEC PROCESSING SDN BHD, KUALA BERANG, TERENGGANU

 

1. Saya mengambil perhatian kepada berita cadangan penutupan operasi kilang getah MARDEC Processing Sdn Bhd di Kuala Berang, Terengganu. Penutupan operasi kilang tersebut yang mempunyai kapasiti memproses lebih 2,000 tan sebulan akan memberi impak kepada aktivti-aktiviti pengeluaran dan pemprosesan getah yang melibatkan pekebun-pekebun kecil di kawasan sekitar Hulu Terengganu selain menyebabkan lebih 110 orang pekerja kilang hilang pekerjaan.

2. LGM sebagai agensi di bawah Kementerian saya yang bertanggungjawab kepada kawal selia, operasi dan khidmat teknikal kepada sektor pemprosesan getah melihat cadangan penutupan Kilang MARDEC Processing Sdn Bhd, Kuala Berang akan memberi impak kepada aktiviti pengeluaran dan penjualan getah pekebun kecil yang akan menjejaskan pendapatan mereka.

3. Rekod LGM menunjukkan bahawa terdapat lebih daripada 2,700 pekebun kecil di Hulu Terengganu dan juga akan mempunyai kesan secara tidak langsung kepada 19,350 pekebun kecil di seluruh Terengganu.

4. Kementerian menerusi LGM bersedia memberi khidmat teknikal dan membantu pihak Pengurusan MARDEC Berhad untuk membuat kajian menyeluruh dengan maklumat berkaitan bagi mengenalpasti masalah operasi kilang dan punca-punca yang menyebabkan Kilang MARDEC Kuala Berang mengalami kerugian dan seterusnya tidak dapat meneruskan operasi. Ini adalah bertujuan memastikan kilang tersebut dapat meningkatkan daya saing dan terus beroperasi untuk memproses getah yang dihasilkan di Hulu Terengganu dan juga di seluruh Negeri Terengganu.

YB Dato’ Dr Mohd Khairuddin Bin Aman Razali
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi
29 Jun 2020

 


KENYATAAN MEDIA

LAWATAN KERJA YB TUAN WILLIE MONGIN, TIMBALAN MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI, PADAWAN, SARAWAK

1. Pada hari ini, 27 Jun 2020, YB Tuan Willie Mongin, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi telah menghadiri sesi taklimat oleh Lembaga Koko Malaysia mengenai potensi industri koko dan aktiviti promosi penyertaan Koperasi Kluster Koko Sarawak Berhad kepada penduduk di sekitar Padawan di Dewan Gunasama Kampung Bratan Asah, Padawan, Sarawak.

2. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) telah memperkenalkan Program Pembangunan Rantaian Kluster Koko, yang berupaya meningkatkan pengeluaran biji koko dan pendapatan pengusaha-pengusaha koko merangkumi komuniti setempat.

3. Melalui program ini, pekebun kecil koko akan diberi bantuan subsidi bagi tanaman baharu koko dan bagi aktiviti peluasan kebun atau penggantian kebun yang tidak ekonomik untuk diselenggarakan.

4. Di samping itu, Program Kluster Koko akan membolehkan aktiviti pemprosesan biji koko kering tempatan Sarawak dilaksanakan dengan kapasiti 50 tan setahun. Pekebun kecil koko pula diberi bantuan subsidi dalam bentuk input pertanian untuk aktiviti penyelenggaraan kebun terutamanya penuaian hasil biji koko kering melalui program Program Peningkatan Hasil Koko Kluster dan Program Peningkatan Produktiviti. Manakala, pengurusan Kluster Koko akan dilaksanakan melalui Koperasi Kluster Koko Sarawak Berhad di mana keahlian koperasi adalah terbuka kepada pemain industri koko seperti penanam koko dan usahawan koko.

5. Dalam usaha membantu pekebun kecil koko yang terkesan akibat penularan wabak COVID-19, Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM2.69 juta kepada 4,566 pekebun kecil koko yang layak di seluruh Malaysia di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) PRIHATIN 2020. Dalam hal ini, seramai 1,140 orang pekebun kecil koko layak mendapat bantuan ini di negeri Sarawak dengan anggaran kos sebanyak RM667,000 di bawah pakej ini, dengan nilai bantuan bagi pekebun di Padawan dijangka sebanyak RM85,000.

6. Kementerian melalui Lembaga Koko Malaysia akan terus membantu pekebun kecil koko dan melaksanakan program yang bersesuaian untuk meningkatkan kemajuan industri koko. Adalah diharapkan agar usaha ini dapat menarik minat orang ramai amnya dan Padawan khususnya untuk melibatkan diri secara aktif dalam industri koko sekali gus meningkatkan pendapatan pekebun kecil koko.

 

KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
27 JUN 2020