faqcontact complaintssitemapintranet pdpk 

mpi
KENYATAAN MEDIA


 

YB PUAN TERESA KOK, MENTERI INDUSTRI UTAMA
LAWATAN KE DOSHIN RUBBER PRODUCTS (M) SDN BHD
27 OGOS 2018

 

1. YB Puan Teresa Kok, Menteri Industri Utama telah melawat Doshin Rubber Products (M) Sdn Bhd, sebuah anak syarikat kumpulan Kossan pada hari ini. Lawatan ini bertujuan untuk mendapatkan gambaran yang lebih dekat mengenai potensi eksport produk getah kejuruteraan bernilai tinggi yang dihasilkan di Malaysia beserta dengan potensi eksport barangan ini.

2. YB Puan Teresa Kok juga telah melihat kemudahan pengeluaran dan R&D serta menyaksikan beberapa mesin terbesar yang digunakan dalam pengeluaran dan pengujian produk getah kejuruteraan. YB Puan Teresa Kok turut mengadakan sesi perbincangan bersama pengurusan kanan Doshin mengenai usaha pemasaran untuk mempromosikan produk getah kejuruteraan di dalam dan luar negara.

3. Selain menjadi pemain utama dalam industri perlindungan gempa bumi dan penebat getaran, Doshin juga mengeluarkan produk yang digunakan dalam projek-projek infrastruktur seperti ‘marine dock fenders’, sistem sendi pengembangan (expansion joints), galas berstruktur (structural bearing) dan produk berkaitan perlombongan.

4. Doshin mengeluarkan galas getah redaman tinggi (HDNRB) yang boleh melindungi struktur bangunan dan mengelakkan kehilangan nyawa semasa gempa bumi. HDNRB mengandungi lapisan kompaun getah khusus dan plat keluli bertetulang yang bukan sahaja efektif dari segi kos tetapi penyelenggaraannya juga mudah.

5. Bangunan dan jambatan yang dilengkapi dengan teknologi HDNRB mampu menahan impak gempa bumi dengan mengalihkan daya getaran gempa bumi. HDNRB telah dibangunkan bersama oleh Lembaga Getah Malaysia dan University of California, Berkeley, Amerika Syarikat pada akhir tahun 1970an. Ia mula digunakan dalam “base isolated building” di Amerika Syarikat pada tahun 1985 – bangunan Law and Justice Centre lima tingkat di San Bernardino, California.

6. Di Malaysia, Sistem Galas Getah Redaman Tinggi (HDNRB) telah dipasang di Jambatan Pulau Pinang Kedua. Ia merupakan jambatan terpanjang di dunia yang dipasang dengan lebih daripada 2,000 keping HDNRB. Di Indonesia, Sistem Galas Getah Redaman Ultra Tinggi (ultra high damping rubber bearing) yang dipatenkan oleh Doshin telah digunakan di sebuah hospital universiti dan Wika Tower. Ini merupakan kali pertama di dunia sistem sedemikian digunakan di mana sebatian getah semulajadi dengan nisbah redaman ultra tinggi digunakan tanpa bantuan peralatan mahal lain untuk mencapai prestasi yang memuaskan.

7. Eksport produk getah Malaysia dalam segmen barangan getah am dan industri meningkat sebanyak 25.6% kepada RM2.4 bilion pada 2017 daripada RM1.9 bilion pada 2016. Dalam segmen ini, eksport galas berstruktur (structural bearings) mencatatkan peningkatan ketara sebanyak 60.5% kepada RM22.7 juta pada tahun 2017 daripada RM14.1 juta pada 2016.

8. Sejak beberapa tahun yang lepas, Majlis Promosi Eksport Getah Malaysia (MREPC) bersama-sama dengan pihak industri, telah mempromosikan HDNRB secara aktif di China, Turki, Indonesia, Chile, Peru, Myanmar dan New Zealand. Ini termasuk mengambil bahagian dalam pameran perdagangan dan persidangan yang berkaitan dengan galas seismik serta mewujudkan platform yang sesuai untuk berhubung dengan para jurutera, perunding, penyelidik dan pakar melalui penganjuran seminar.

9. “Mesyuarat dengan pihak berkuasa dan organisasi/persatuan kejuruteraan yang berkaitan turut diadakan untuk mempromosikan penggunaan HDNRB dalam projek-projek infrastruktur. Bagi tahun 2019, MREPC merancang untuk mempromosikan HDNRB di Filipina dan Itali yang merupakan antara negara yang mempunyai aktiviti seismik tinggi” ujar YB Puan Teresa Kok.

10. YB Menteri turut dimaklumkan dalam usaha untuk mencapai kualiti bertaraf dunia, produk-produk Doshin memenuhi piawaian antarabangsa seperti CE Mark, ISO 9001: 2015 EN 15129 dan ISO 17025. Selaras dengan penggunaan kereta api berkelajuan tinggi yang lebih meluas, Doshin merancang untuk memberi tumpuan kepada produk-produk berkaitan keretapi/rel seperti galas getah ultra tinggi dan sistem redaman getaran yang lebih maju.

11. Doshin Rubber telah melabur dalam memasang peralatan ujian yang canggih yang direka untuk menahan daya pemampatan sebanyak 5,000 tan dan anjakan ricih 1,000 mm. Peralatan ini juga dianggap sebagai yang terbesar di Asia.

Kementerian Industri Utama
27 Ogos 2018