faqcontact complaintssitemap pdpk 

TEKS UCAPAN YB MENTERI BAGI MAJLIS PERHIMPUNAN MPI BIL. 4/2019 DAN
ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG (APC) MTIB 2018, “KECEMERLANGAN HARI INI, KEGEMILANGAN MASA HADAPAN”
23 APRIL 2019, 11.00 PAGI – 1.30 PTG
DEWAN CEMPAKA, MENARA PGRM, CHERAS


Terima kasih Saudara/ Saudari Pengacara Majlis,

YBhg Dato’ Dr. Tan Yew Chong

Ketua Setiausaha. Kementerian Industri Utama

Timbalan-timbalan Ketua Setiausaha

Ketua-Ketua Pengarah Agensi;

Ketua-Ketua Pegawai Eksekutif Majlis;

Para penerima Anugerah APC, Para Penerima Anugerah ACSA serta Semua warga MPI
Selamat Pagi, Salam Sejahtera dan Salam Sayangi Sawitku.

1. Saya amat bersyukur kerana dapat bersama warga MPI, wakil-wakil Agensi dan Majlis di Perhimpunan Bulanan MPI Bilangan ke 4 bagi tahun 2019 serta Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) 2018.

2. Ucapan terima kasih kepada (MTIB) kerana menjadi hos kita bagi Perhimpunan Bulanan kali ini.

KEMPEN SAYANGI SAWIT

Para hadirin sekalian,

3. Bersempena dengan Kempen Sayangi Sawitku, pelbagai program telah dijalankan. Antaranya adalah perjumpaan saya bersama YB Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) Sabah dan agensi pelancongan mengenai kempen ini di Kota Kinabalu pada 1 April 2019.

4. Perjumpaan ini adalah bersempena lawatan kerja MPI ke Sabah dari 30 Mac 3019 sehingga 2 April 2019, di mana kita menerima sambutan yang amat baik bagi kempen Sayangi Sawitku.

5. Sempena lawatan kerja MPI tersebut, Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) telah menyerahkan cek sumbangan berjumlah RM1.5 juta kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah bagi Pusat Pemuliharaan Orangutan Sepilok. Satu lagi objektif penting lawatan kementerian ke Sabah ini adalah pelaksanaan projek tanam semula satu juta pokok hutan, di mana Letter of Intent (LOI) telah ditandatangani dengan pihak kerajaan Sabah untuk menanam pokok di kawasan hutan yang dikenalpasti, dalam tempoh 10 tahun.

6. Inisiatif MPI ini adalah untuk menggalakkan pemeliharaan hutan dan menolak dakwaaan yang Malaysia memusnahkan hutan semulajadi dan kehidupan liar.

7. Satu lagi usaha adalah pameran Kempen Sayangi Sawitku di Bangunan Utama Parlimen pada 9 April 2019. Lebih 50 Ahli Parlimen termasuk YAB Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad telah menandatangani plakat sebagai tanda sokongan terhadap Kempen Sayangi Sawitku.

8. Pameran ini melibatkan demonstrasi penggunaan minyak sawit merah dan santan sawit, penerangan mengenai produk-produk berasaskan sawit dan pengedaran risalah berkaitan sawit.

9. Saya percaya pameran ini berjaya meningkatkan kesedaran di kalangan Ahli Parlimen mengenai kebaikan dan kegunaan minyak sawit apabila ramai daripada mereka mencuba minyak sawit merah dan produk berasaskan sawit seperti cendol mengguna santan sawit buat kali pertamanya.

10. Selain itu, satu taklimat mengenai Kempen Sayangi Sawitku telah diadakan pada 11 April 2019 untuk ahli-ahli Dewan Rakyat. Hasil daripada taklimat ini, ahli Yang Berhormat yang hadir menyatakan hasrat untuk turut mempromosikan minyak sawit di kawasan Parlimen masing-masing.

MISI BERSAMA DI BAWAH KERANGKA COUNCIL OF PALM OIL PRODUCING COUNTRIES (CPOPC) KE BELGIUM PADA 8 DAN 9 APRIL 2019

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

11. Susulan keputusan Mesyuarat Council of Palm Oil Producing Countries (CPOPC) Ke-6 Peringkat Menteri yang diadakan pada 28 Februari 2019, satu misi ke Brussels, Belgium telah diadakan pada 8 dan 9 April 2019 dengan penglibatan Malaysia dan Indonesia serta Colombia sebagai negara jemputan dan pemerhati.

12. Semasa misi tersebut, delegasi CPOPC telah mengadakan pertemuan dengan entiti utama di bawah Kesatuan Eropah iaitu wakil Parlimen Eropah, Majlis Eropah, Suruhanjaya Eropah, Head of Indonesia - EU Parliamentary Friendship Group dan wakil Ahli-ahli Parlimen Eropah serta pemain industri minyak sawit.

13. Antara perkara yang ditekankan oleh delegasi CPOPC semasa mesyuarat-mesyuarat tersebut adalah:
(a) kesan negatif pelaksanaan Delegated Regulation kepada penggiat industri sawit terutama sekali pekebun kecil;
(b) usaha kemampanan industri sawit termasuklah pensijilan;
(c) usaha dan inisiatif ke arah kelestarian, keseimbangan dan pembangunan hijau industri sawit;
(d) dasar negara dalam memastikan kemampanan industri sawit dan meningkatkan produktiviti; dan
(e) jangkaan langkah yang akan diambil oleh negara pengeluar minyak sawit sekiranya Delegated Regulation ini diperaku dan diluluskan untuk pelaksanaan.

14. Secara umumnya, entiti di bawah EU telah memberikan maklumbalas dan pendirian yang sama terhadap Delegated Regulation di bawah EU RED II tersebut. Berdasarkan beberapa siri mesyuarat yang telah diadakan, Delegated Regulation dijangka akan terus diperaku dan dilaksanakan sepertimana telah dirancang dan ditetapkan oleh pihak EU, tanpa mengambil kira pandangan dan bantahan daripada negara pengeluar minyak sawit.

15. Susulan itu, antara tindakan yang wajar diambil termasuklah:

(a) perbincangan secara berterusan bersama pihak EU terutama sekali bagi semakan semula yang akan dibuat pada Jun 2021;
(b) bantahan terhadap langkah diskriminasi industri sawit di World Trade Organisation (WTO) di bawah CPOPC;
(c) mendapatkan sokongan daripada negara anggota EU;
(d) mempertimbangkan semula rundingan perjanjian perdagangan bebas (FTA) di antara Kesatuan Eropah; dan
(e) memberi fokus kepada pengembangan pasaran ke negara yang mempunyai potensi tinggi dalam mempelbagaikan lagi destinasi eksport minyak sawit negara.

MISI EKONOMI DAN PROMOSI SAWIT DAN KAYU-KAYAN KE ARAB SAUDI PADA 22 HINGGA 25 APRIL 2019

Sidang hadirin yang dihormati sekalian,

16. Memandangkan situasi di EU yang bertekad untuk melumpuhkan industri minyak sawit negara pengeluar serta akibat lebihan stok minyak sawit negara yang tinggi, kita perlu melipat gandakan usaha untuk memperluaskan pasaran, termasuk ke pasaran baru.
17. Rantau Timur Tengah dan benua Afrika adalah antara rantau yang berpotensi untuk dikembang dan ditingkatkan dalam mempelbagaikan lagi pasaran sawit Malaysia. Jesteru itu, YB Timbalan Menteri Industri Utama telah berangkat untuk mengetuai Misi Ekonomi dan Promosi Sawit dan Kayu-kayan ke Arab Saudi dari 22 hingga 25 April 2019.

18. Beliau akan mengadakan beberapa pertemuan dengan pemain industri sawit dan kayu serta rakan sejawat di peringkat Kementerian dan Agensi berkaitan di negara-negara berkenaan.

19. Arab Saudi merupakan antara pasaran terbesar bagi eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit, serta kayu dan produk kayu Malaysia dalam kalangan negara-negara Timur Tengah.

20. Pertemuan dengan pihak-pihak berkepentingan ini diadakan bagi membincangkan isu-isu semasa yang memberi kesan kepada perdagangan minyak sawit, meneroka peluang pasaran dan rakan dagangan baru serta mendapat manfaat menerusi pelbagai jaringan rangkaian perdagangan untuk meningkatkan eksport komoditi negara.

21. Selain itu, pertemuan ini juga dapat memberi ruang bagi Malaysia untuk mempromosi kebaikan minyak sawit serta mewar-warkan usaha kelestarian industry minyak sawit negara.

ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG MTIB

Hadirin sekalian,

22. Pada hari ini juga kita akan menyampaikan penghargaan dan pengiktirafan kepada warga MTIB yang telah menunjukkan prestasi yang tinggi sepanjang tahun 2018, khasnya dalam menyumbang kepada kecemerlangan MTIB.

23. Seramai 34 orang warga MTIB yang dipilih akan di beri Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2018, manakala 3 orang akan menerima Anugerah Audit & Control Self Assessment (ACSA). 23. Saya yakin penganugerahan ini akan memberi motivasi kepada semua agar mengekalkan momentum kecemerlangan pada masa-masa akan datang.

24. Tahniah kepada semua penerima anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan jadikanlah anugerah ini sebagai teras dan pendorong untuk lebih berusaha bagi mempertingkatkan sistem penyampaian yang lebih cekap, berwibawa, berintegriti dan berkualiti.

Sekian, terima kasih.