faqcontact complaintssitemap pdpk 

TEKS UCAPAN YB MENTERI DI MAJLIS PERHIMPUNAN MPI BIL. 3/2019 DAN 
ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG (APC) TAHUN 2018, “KECEMERLANGAN HARI INI, KEGEMILANGAN MASA HADAPAN” 
18 MAC 2019, 9.00 PAGI – 10.30 PAGI
DEWAN SERBAGUNA, ARAS G, MPI


Terima kasih Saudara/ Saudari Pengacara Majlis,

YBhg Dato’ Dr. Tan Yew Chong
Ketua Setiausaha

Kementerian Industri Utama

Timbalan-timbalan Ketua Setiausaha

Ketua-Ketua Pengarah Agensi;

Ketua-Ketua Pegawai Eksekutif Majlis;

Para penerima Anugerah APC serta Semua warga MPI

Selamat Pagi, Salam Sejahtera dan Salam Sayangi Sawitku.

1. Saya amat bersyukur kerana dapat bersama warga MPI, wakil-wakil Agensi dan Majlis di Perhimpunan Bulanan MPI Bilangan ke 3 bagi tahun 2019 dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang tahun 2018 Kementerian Industri Utama (MPI).
PENCAPAIAN SEKTOR AGRIKOMODITI BAGI TEMPOH JANUARI 2019

YBhg. Datuk Seri/ Dato’/ Datin/ Tuan/ Puan,

2. Bagi tempoh Januari 2019, sektor agrikomoditi telah mencatatkan jumlah nilai dagangan (total trade) sebanyak RM13.8 bilion, manakala imbangan dagangan (trade balance) adalah sebanyak RM7.1 bilion. Pendapatan eksport produk-produk komoditi bagi tempoh tersebut adalah sebanyak RM10.5 bilion atau 12.2% daripada keseluruhan pendapatan eksport negara.

3. Walaupun nilai eksport menurun, kuantiti eksport produk-produk sawit telah meningkat sebanyak 4.5% kepada 2.4 juta tan metrik bagi tahun 2018. Selain itu, sehingga suku keempat tahun 2018, aktiviti-aktiviti di peringkat huluan dan hiliran sektor agrikomoditi turut menyumbang sebanyak 7.7% atau RM24.9 bilion kepada jumlah keseluruhan KDNK negara.

INTERNATIONAL TRIPARTITE RUBBER COUNCIL

Para hadirin sekalian,

4. Dalam perkembangan industri getah pula, perancangan dan pelaksanaan Agreed Export Tonnage Scheme (AETS) secara terperinci telah dipersetujui semasa Mesyuarat Khas Peringkat Pegawai Kanan International Tripartite Rubber Council (ITRC) pada 4 dan 5 Mac 2019 di Bangkok, Thailand. Ketua Delegasi dari Malaysia ialah En. Ravi Muthayah, Timbalan Ketua Setiausaha (Komoditi).

5. Mesyuarat ini adalah susulan daripada keputusan Mesyuarat Khas Peringkat Menteri ITRC pada 22 Februari 2019 di Bangkok, Thailand. Ketiga-tiga negara bersetuju untuk melaksanakan AETS selama empat (4) bulan dengan jumlah pengurangan eksport getah asli (NR) sebanyak 240,000 metrik tan.

6. Malaysia akan melaksanakan AETS dari 1 April 2019 hingga 31 Julai 2019 dengan jumlah eksport dihadkan kepada 357,535 metrik tan, iaitu pengurangan sebanyak 15,600 metrik tan. Bagi memastikan pelaksanaan AETS yang berkesan, sebuah jawatankuasa pemantauan iaitu AETS Monitoring and Surveillance Committee telah ditubuhkan dan dianggotai oleh wakil badan pelaksana setiap negara anggota ITRC.

7. Program-program lain di bawah kerangka kerja ITRC seperti Demand Promotion Scheme dan Supply Management Scheme akan diteruskan dan ditambahbaik bagi meningkatkan penggunaan domestik getah asli dan mengimbangi permintaan dan penawaran getah asli global. Anggota ITRC, iaitu Thailand, Indonesia dan Malaysia, yakin kerjasama ini dapat membantu memperkukuhkan lagi harga getah asli untuk kesejahteraan pekebun kecil getah di rantau ini.

8. Untuk makluman, paras harga Standard Malaysian Rubber 20 (SMR20) FOB (Free on Board) telah meningkat sebanyak 13.6% dari RM5.21 se kilogram pada 31 Disember 2018 kepada RM5.92 se kilogram pada 15 Mac 2019 selepas langkah AETS diumumkan.

DELEGATED ACT

9. Saya ingin menyentuh mengenai status terkini berkaitan tindakan-tindakan Suruhanjaya Eropah (EC) untuk menghentikan penggunaan minyak sawit. EC pada 8 Februari 2019 telah mengeluarkan deraf Delegated Act iaitu dokumen pelengkap kepada European Union Renewable Energy Directive II (EU RED II) berkaitan kriteria atau metodologi bagi menentukan sumber dan pengeluaran biobahan api yang akan dikategorikan sebagai berisiko tinggi kepada pelepasan gas rumah hijau dan mempunyai kadar indirect land use change (ILUC) yang tinggi.

10. Draf Delegated Act ini telah dibuka untuk pandangan umum bagi tempoh 4 minggu iaitu sehingga 8 Mac 2019 sebelum dimuktamadkan. Susulan itu, satu lawatan kerja ke Belgium dan Netherlands telah diadakan pada 4 hingga 13 Mac 2019 diketuai oleh YBhg. Dato’ Dr. KSU serta wakil Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC).

11. Pasukan kita telah bertemu dan berbincang bersama 6 pegawai atasan EU bagi menyatakan pendirian Malaysia serta memberi maklumat tepat berkenaan industri sawit kita, terutama dalam aspek kelestarian dan kemampanan.

12. Namun, pada 13 Mac 2019, EC telah menerima Delegated Act ini dengan beberapa pindaan seperti definisi pekebun kecil yang diklasifikasikan sebagai mempunyai keluasan tanah kurang daripada 2 hektar berbanding dengan julat 2 hingga 5 hektar dalam deraf asal.

13. Hal ini akan memberi peluang yang sangat tipis kepada tanaman sawit oleh pekebun kecil untuk diklasifikasikan sebagai mempunyai kadar risiko ILUC yang rendah, memandangkan purata keluasan pekebun kecil sawit dalam negara adalah sekitar 3 hingga 4 hektar. Definisi keluasan yang digunapakai oleh Malaysia adalah seluas kurang daripada 40.46 hektar dan ia tidak diambil kira oleh pihak EC.

14. Begitu juga di bawah Delegated Act ini, penanaman sawit di atas tanah yang tidak digunakan atau unused land tidak lagi dibenarkan. Hal ini tidak wajar memandangkan pelaksanaan aktiviti pertanian, contohnya mengusahakan tanaman sawit di atas tanah yang tidak digunakan, mampu menjana keuntungan daripada ditinggalkan begitu sahaja.

15. Delegated Act ini seterusnya dikemukakan kepada Parlimen Eropah dan Majlis Menteri-menteri Eropah untuk diteliti dan dipersetujui bagi tempoh dua (2) bulan bermula 13 Mac 2019.

16. Saya , termasuk Kementerian Luar Negara, telah mengeluarkan kenyataan rasmi dan membantah secara keras-kerasnya keputusan EC ini. Malahan, penggunaan istilah “high risk” atau “phase out” membawa makna secara tidak langsung untuk mengharamkan minyak sawit.

17. Justeru, kita akan terus memperjuangkan hak kita dengan menyuarakan bantahan dengan bantuan dan khidmat nasihat daripada Jabatan Peguam Negara (AGC). Ini termasuk untuk membawa perkara ini ke platform antarabangsa seperti World Trade Organization (WTO) melalui mesyuarat Jawatankuasa Halangan Teknikal Kepada Perdagangan (Technical Barriers to Trade), Majlis bagi Perdagangan Barangan (Council for Trade in Goods) dan Jawatankuasa Perdagangan dan Alam Sekitar (Trade and Environment Committee).

18. Selain itu, kita boleh mengambil tindakan untuk mempertimbangkan semula rundingan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan Kesatuan Eropah dan penentuan perolehan aset Kerajaan dan GLC daripada negara Kesatuan Eropah dengan syarat yang lebih ketat dan mampu memberikan situasi menang-menang dalam menjamin industri sawit negara terpelihara.

19. Seperkara lagi, pada 13 Mac, Malaysia bersama dengan beberapa buah negara termasuk Indonesia telah berjaya mengalahkan agenda jahat Kesatuan Eropah untuk mendapat satu resolusi di Persidangan Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Ke-empat (Fourth United Nations Environment Assembly - UNEA-4) di Nairobi, Kenya.

20. Resolusi bertajuk Deforestation And Agricultural Commodity Supply Chain mengaitkan penanaman sawit dengan penyahhutanan dan kesannya ke atas kehilangan kepelbagaian biologi dan perubahan iklim. Sekiranya EU berjaya mendapatkan resolusi tersebut di peringkat UNEA-4, iaitu satu platform PBB, ia memberi tanggapan bahawa Delegated Act ini mendapat pengesahan dan sokongan kuat daripada dunia.

21. Kesatuan Eropah langsung tidak mengambil kira usaha negara-negara pengeluar minyak sawit, khususnya Malaysia, dalam mengimbangi kepentingan peranan industri minyak sawit sebagai pembasmi kemiskinan luar bandar dan pada masa yang sama membangunkannya secara mampan.

22. Saya berterima kasih atas sokongan dan kerjasama daripada pegawai-pegawai MESTECC, KATS dan MPI yang prihatin terhadap serangan tersebut dan telah mempertahankan kepentingan negara. Dengan semangat sebegini, saya yakin Malaysia akan terus bersiap-sedia untuk memerangi segala diskriminasi terhadap produk minyak sawit kita.

23. Begitu juga, negara-negara pengeluar minyak sawit, termasuk melalui Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC), akan terus bekerjasama dan bersatu dalam mempertahankan hak masing-masing untuk membangun. Kita perlu membanteras percubaan oleh negara-negara maju untuk melumpuhkan industri sawit.

KEMPEN SAYANGI SAWITKU

Hadirin yang dihormati sekalian,

24. Majlis pelancaran rasmi Kempen Sayangi Sawitku akan diadakan pada 24 Mac 2019 (Ahad) di Ladang East Sime Darby, Pulau Carey, Selangor. Majlis ini akan dirasmikan oleh YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia, dengan jangkaan 4,000 orang jemputan.

25. Saya amat bangga dan gembira kerana sehingga kini, Kempen Sayangi Sawitku telah mendapat sokongan dan komitmen jitu daripada beberapa syarikat berkaitan Kerajaan dan swasta seperti Sime Darby Berhad, Media Prima Berhad, Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) dan syarikat penerbangan Malaysia Airlines Berhad, Malindo Airways Sdn Bhd dan AirAsia Berhad.

26. Selain itu, kita juga meluaskan jangkauan kempen ini di peringkat univeristi, kolej dan sekolah melalui program Education in Palm Oil (EDUPALM) serta Palm Oil Student Ambassador Program, di samping bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk kejayaan kempen kesedaran awam ini.

27. Pada masa yang sama, pihak Tourism Malaysia telah bersetuju dengan penyertaan MPI di International Tourism Borse (ITB) Berlin 2019 pada 6 hingga 10 Mac 2019 bagi mempromosikan minyak sawit di peringkat global. Pihak Malaysian Inbound Tourism Association turut menyertai kempen ini dengan mempromosikan kebaikan minyak sawit Malaysia kepada para pelancong.

28. MPI sentiasa bersedia untuk berganding bahu dengan setiap Kementerian, Agensi dan penggiat industri yang berminat menyertai Kempen Sayangi Sawitku. Saya berkesempatan berkongsi dengan rakan wakil rakyat berkenaan kempen ini pada 10 Mac 2019 dan kedudukan sebenar Kempen Anti Sawit oleh Kesatuan Eropah. Selain itu, kita juga akan berkongsi matlumat ini di Mesyuarat Pasca Kabinet kementerian-kementerian.

ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG

Hadirin sekalian,

29. Pada pagi ini kita akan memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada warga MPI yang telah menunjukkan perkhidmatan cemerlang sepanjang tahun 2018, khasnya dalam memastikan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan sentiasa mencapai standard dan kualiti yang ditetapkan, dan memenuhi kehendak dan ekspektasi pelanggan dan rakyat.

30. Seramai 21 orang warga MPI yang dipilih akan di beri Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2018 dan 5 orang penerima Anugerah Khas KSU yang merupakan satu bentuk penghargaan dalaman baharu yang diwujudkan di MPI.

31. Bertepatan dengan tema APC tahun ini "Kecemerlangan Hari ini, Kegemilangan Masa Hadapan", saya yakin kejayaan penerima APC tahun 2018 akan menjadi pembakar semangat dan aspirasi kepada semua warga MPI untuk terus memberikan perkhidmatan yang lebih baik pada tahun ini dan tahun yang mendatang.

Sekian, terima kasih.