faqcontact complaintssitemap pdpk 

TEKS UCAPAN YB PUAN TERESA KOK MENTERI INDUSTRI UTAMA DI MAJLIS PERASMIAN “SAJI SAYANGI SAWITKU”
FGV COURIER & WAREHOUSING, SHAH ALAM
11.30 PAGI, 30 APRIL 2019 (SELASA)


 

YBhg. Dato Haris Fadzilah Hasan
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan
FGV Holdings Berhad

YBrs. En. Shammim Kamruzaman
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Delima Oil Products Sdn Bhd

Barisan pengurusan kanan dan pegawai daripada Kumpulan FGV, MPI, MPOB, MPOC, dan rakan-rakan media.

Yang Berbahagia Tan Sri-Tan Sri, Datuk Seri-Datuk Seri, Datuk-Datuk, tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat Pagi dan Salam Sayangi Sawitku.

1. Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada YBhg. Dato Haris Fadzilah Hassan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV Holdings Berhad (FGV) kerana telah memberikan sokongan bagi membantu Kerajaan menggiatkan lagi usaha mempromosikan ‘Kempen Sayangi Sawitku’ di kalangan masyarakat tempatan.

2. Usaha murni yang ditunjukkan oleh FGV ini amatlah dialu-alukan kerana inisiatif seperti ini dapat memberi gambaran kepada masyarakat bahawa Kerajaan dan para pemain industri sawit di negara ini benar-benar komited dalam memajukan lagi industri sawit kita ke tahap yang lebih tinggi dan seterusnya bersama-sama dalam memelihara kepentingan industri ini.

Para hadirin sekalian

3. Pada hari ini, kita semua patut berasa bangga dengan pencapaian yang dikecapi oleh industri sawit negara. Ini kerana, selain menjadi antara salah satu penyumbang terbesar kepada pertumbuhan ekonomi negara, industri sawit juga turut menyumbang kepada penambahbaikan sosio-ekonomi rakyat.

4. Untuk rekod, pada tahun 2018 industri sawit telah menyumbang sebanyak RM67.5 bilion kepada pendapatan eksport dan 4.5% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

5. Namun begitu, di sebalik sumbangannya yang besar kepada negara, industri sawit terus menjadi sasaran pihak berkepentingan di luar negara yang memburuk-burukkan imej dan reputasi industry ini. Mereka telah mengaitkan industri sawit sebagai punca kepada penyahhutanan dan kehilangan serta penghapusan biodiversiti.

6. Dakwaan-dakwaan tidak berasas ini telah dijadikan alasan kepada negara-negara di Benua Eropah untuk menyekat kemasukan minyak sawit ke negara mereka. Statistik telah menunjukkan bahawa litupan hutan negara kita melebihi kadar 50% daripada keseluruhan negara selaras dengan komitmen yang telah dibuat pada Sidang Kemuncak Bumi di Rio pada tahun 1992. Jumlah ini adalah jauh lebih baik daripada Kesatuan Eropah yang hanya mempunyai purata litupan hutan sekitar 35%.

7. Selain itu, kita juga komited dalam menghasilkan minyak sawit secara mampan melalui pelaksanaan secara mandatori pensijilan Minyak Sawit mampan atau Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO) menjelang 1 Januari 2020.

Hadirin yang dihormati sekalian,

8. Sepertimana yang kita sedia maklum, minyak sawit kaya dengan khasiat dan nutrient semulajadi seperti Vitamin E dan A. Penggunaanya pula sangat luas dan versatile dari pembuatan pelbagai jenis produk makanan seperti minyak masak, coklat, ais krim, atau produk penjagaan diri seperti sabun, lipstik, sabun pencuci, mahupun sumber tenaga atau bio bahan api bagi kenderaan.

9. Sebagai rakyat Malaysia, kita sewajarnya menghargai anugerah semulajadi minyak sawit ini dan mengutamakan penggunaannya dalam kehidupan seharian kita.

10. Oleh itu, pada 24 Mac 2019 yang lalu, Perdana Menteri kita telah melancarkan kempen ‘Sayangi Sawitku’ atau ‘Love MY Palm Oil’ dengan tujuan untuk mendidik rakyat Malaysia mengenai kelebihan minyak sawit dan peranan serta sumbangan penting komoditi ini kepada negara yang akan turut menumpukan kepada aspek sosio-ekonomi, kesihatan dan alam sekitar.
Tuan-tuan dan puan-puan,

11. Selaras dengan pelancaran rasmi tersebut, kami di pihak Kementerian amat mengalu-alukan para pengeluar minyak sawit turut menyertai usaha kempen ini.

12. Sehubungan itu, saya amat berterima kasih kepada FGV Holdings Berhad kerana telah mengambil inisiatif menggunakan jenama terkenal keluaran mereka iaitu SAJI bagi menyokong dan mempromosikan kempen ‘Sayangi Sawitku’ ini.

13. Saya difahamkan, menerusi jenama SAJI, FGV akan mempamerkan logo kempen ‘Sayangi Sawitku’ di semua barisan produk keluarannya, serta seterusnya di kenderaan-kenderaan pembawa minyak masak milik FGV.

14. Saya juga turut dimaklumkan, sempena bulan Ramadan yang bakal tiba tidak lama lagi, pihak FGV Holdings akan melancarkan program ‘Infak Ramadan’ iaitu bagi setiap pembelian minyak masak SAJI 5kg, sebanyak 50 sen akan disumbangkan kepada golongan-golongan yang memerlukan.

15. Melalui program ini, FGV Holdings mensasarkan sebanyak RM300,000 jumlah kutipan infak dalam masa sebulan berpuasa. Inisiatif ini adalah sangat baik, di mana setiap pembelian bukan sahaja membantu petani atau pengeluar sawit, malah dapat turut membantu rakyat Malaysia yang kurang berkemampuan.

16. Dengan pelancaran kempen di peringkat FGV ini, saya berharap lebih banyak lagi pengeluar sawit akan turut sama dalam memberi sokongan dan komitmen untuk bersama-sama meningkatkan lagi kesedaran rakyat Malaysia terhadap peranan minyak sawit dalam kehidupan seharian kita.

17. Dengan ini, saya secara rasminya melancarkan kempen ‘SAJI Sayangi Sawitku’.

Sekian, terima kasih dan Salam Sayangi Sawitku!