faqcontact complaintssitemap pdpk 

UCAPAN YB TERESA KOK MENTERI INDUSTRI UTAMA DI MAJLIS PERASMIAN KEMPEN SAYANGI SAWITKU
24 MAC 2019, LADANG EAST PULAU CAREY
SIME DARBY PLANTATION BERHAD


Yang Amat Berhormat Tun Dr. Mahathir bin Mohamad
Perdana Menteri Malaysia,

YB Dr. Xavier Jayakumar Arulanandam
Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli

YB Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin
Timbalan Menteri Industri Utama

Yang Berbahagia Datuk Seri Ketua Setiausaha Negara

Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor

Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan

Yang Berbahagia Tan Sri-Tan Sri, Datuk Seri-Datuk Seri, Datuk-Datuk, tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat Pagi dan Salam Sayangi Sawitku.

1. Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad, Perdana Menteri kita, yang sudi melapangkan masa dan hadir bersama-sama kita pada hari ini.

2. Ini merupakan satu majlis yang julung-julung kali diadakan untuk membuktikan kepada masyarakat seluruh dunia bahawa rakyat Malaysia bersatu dan berdiri teguh untuk melindungi minyak sawit Malaysia. Saya ucapkan selamat datang kepada semua hadirin ke Majlis Perasmian Kempen Sayangi Sawitku 2019.

Tuan-tuan dan puan-puan,

3. Industri sawit negara kini telah menjangkau lebih 100 tahun dengan merekodkan pelbagai kejayaan dan sumbangan dalam pertumbuhan ekonomi negara. Dalam melakar kejayaan demi kejayaan sepanjang tempoh tersebut, terdapat masyarakat di luar sana yang mencemburui kejayaan kita.

4. Mereka melemparkan pelbagai tomahan dan tuduhan yang tidak berasas kerana ingin menjatuhkan imej minyak sawit negara demi kepentingan dan agenda mereka sendiri. Negara-negara maju di Eropah telah memulakan usaha perundangan untuk menghadkan atau menghentikan penggunaan minyak sawit atas dasar pengeluaran minyak sawit tidak mampan dan menyebabkan penyahhutanan hutan tropika.

5. Pada masa yang sama, pengeluar produk makanan dan bukan makanan Eropah kini giat memasarkan lebih banyak produk dengan label ‘No Palm Oil’. Perkara ini menyebabkan wujudnya tanggapan yang buruk terhadap minyak sawit dalam kalangan pengguna Eropah.

6. Mereka menganggap minyak sawit adalah tidak baik untuk kesihatan dan merosakkan alam sekitar. Mereka juga menyalahkan kita terhadap kepupusan orangutan.

7. Malang sekali, usaha tidak baik yang dilakukan oleh pihak luar ini telah memberi kesan yang negatif terhadap rakyat Malaysia sendiri, yang turut terpengaruh dengan mesej anti minyak sawit ini yang disebarkan melalui pelbagai saluran termasuklah media sosial.

Para hadirin yang dihormati sekalian,

8. Sebenarnya, minyak sawit terbukti kaya dengan pelbagai khasiat terutamanya Vitamin E dan A. Selain itu, ia juga adalah bahan asas kepada pembuatan pelbagai produk lain seperti sabun, gel mandian dan sabun pencuci yang kita gunakan dalam kehidupan seharian.

9. Justeru, mulai tahun ini, Kementerian Industri Utama telah memulakan kempen secara agresif untuk mendidik rakyat Malaysia mengenai kelebihan minyak sawit dan peranan serta sumbangan penting komoditi ini kepada negara. Dengan tema ‘Sayangi Sawitku’ atau ‘Love MY Palm Oil’, kempen ini akan tertumpu kepada aspek sosio-ekonomi, kesihatan dan alam sekitar.

10. Fokus utama adalah untuk menyemai rasa bangga terhadap minyak sawit dalam kalangan rakyat Malaysia, di samping memberi kesedaran, mendidik, mengenali dan menghargai sumbangan industri minyak sawit kepada negara. Usaha ini dijalankan termasuk melalui program pendidikan bersama sekolah, kolej dan juga universiti di Malaysia.

11. Antara aktiviti-aktiviti yang telah dimulakan adalah seperti Program Duta Pelajar (Palm Oil Students Ambassadors Programme) termasuk yang diadakan bersama Universiti Putra Malaysia, Universiti HELP dan Universiti SeGI, manakala program melukis dinding mural informatif sawit telah dimulakan di Kolej Universiti KDU.

12. Kita juga akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia dan pihak lain sebagai usaha mendidik para pelajar sekolah melalui aktiviti-akitiviti interaktif. Ini termasuk demonstrasi masakan yang diusahakan bersama KidZania dan pertandingan masakan EDUPALM yang akan diadakan di beberapa sekolah.

13. Aktiviti promosi melalui usahasama dengan pasaraya-pasaraya dan kedai-kedai runcit akan turut dilaksanakan bagi meningkatkan lagi kesedaran awam terhadap produk sawit. Selain itu adalah usahasama dengan para pengeluar produk berasaskan sawit dalam mempromosikan produk-produk tersebut dengan lebih berkesan.

14. Adalah menjadi harapan kita agar lebih banyak organisasi akan tampil memberi sokongan dan kerjasama dalam memastikan keberkesanan kempen ini. Selain itu, pertandingan ‘Love MY Palm Oil’ secara atas talian akan dianjurkan sepanjang kempen ini bagi menggalakkan penglibatan para pengguna dan memupuk kesedaran mereka mengenai kelebihan minyak sawit.

Tuan-tuan dan puan-puan,

15. Kita juga telah mendapat kerjasama yang baik daripada syarikat-syarikat penerbangan dan perlancongan dalam membantu menyalurkan maklumat mengenai industri minyak sawit kepada para pelancong. Sebagai contoh, majalah di dalam pesawat dan sistem paparan maklumat penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) telah mula memaparkan informasi mengenai minyak sawit Malaysia.

16. Selain itu, program-program bagi pemandu pelancong tempatan juga akan disediakan sebagai usaha menambah pengetahuan mereka tentang sejarah tanaman sawit dan kebaikan minyak sawit. Dalam hubungan ini, kita ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Malaysia Airports Holdings Berhad, Malaysia Airlines Berhad, Air Asia Berhad, Malindo Airways Sdn. Bhd dan Malaysia Inbound Tourism Association atas kerjasama dan sokongan yang diberikan bagi menjayakan program-program tersebut.

17. Kementerian juga sedar akan kepentingan untuk memberi informasi yang tepat kepada mereka yang terlibat dalam sektor kesihatan. Dalam usaha ini, kita akan memberi informasi mengenai nutirisi dan kebaikan kesihatan minyak sawit kepada para pengamal perubatan, pakar pemakanan dan juga ahli farmasi.

18. Dalam mempertahankan bahawa pembangunan tanaman sawit adalah tanggungjawab bersama, kita juga merancang untuk melaksanakan program ‘Planting For The Future’, dengan penanaman satu juta anak pokok spesis hutan di kawasan-kawasan ‘riparian’ dan ‘degraded land’ yang terpilih di seluruh Malaysia. Untuk usaha ini, adalah diharapkan agar syarikat-syarikat dalam industri sawit Malaysia dapat memberikan sokongan yang penuh terhadap program ini.

Para hadirin sekalian,

19. Kita juga ingin memastikan aktiviti tanaman sawit adalah dilaksanakan secara mampan selaras dengan kerangka United Nation Sustainable Development Goals agar alam sekitar kita terpelihara untuk generasi akan datang. Kita sepatutnya tidak memberi ruang kepada pihak luar terutamanya Kesatuan Eropah (EU) untuk mengaitkan minyak sawit dengan penyahhutanan dan pemusnahan habitat serta biodiversiti.

20. Untuk itu, saya menyeru kepada semua pengusaha sawit untuk sama-sama bertanggungjawab terhadap aspek kemampanan dan kelestarian aktiviti penanaman sawit. Lebih perhatian dan fokus sewajarnya diberikan untuk melestarikan tanaman sawit melalui peningkatan produktiviti pengeluaran hasil sawit.

21. Dalam hal ini, pihak industri dengan kerjasama MPOB hendaklah menumpukan kepada peningkatan produktiviti hasil sawit melalui penggunaan benih yang berkualiti dan berhasil tinggi, memperluaskan mekanisasi dan penggunaan jentera moden di ladang serta penggunaan baja yang cekap nutrien serta kawalan penyakit dan makhluk perosak yang berkesan.

22. Untuk makluman para hadirin sekalian, Kabinet telah meluluskan cadangan untuk menghadkan peluasan kawasan tanaman sawit di negara kepada 6.5 juta hektar sebagai langkah untuk memastikan kelestarian industri minyak sawit. Had ini juga mengambil kira perancangan yang telah dibuat oleh kerajaan-kerajaan negeri untuk penanaman sawit di negeri masing-masing. Dalam hal ini, kita akan terus berkonsultasi dengan pihak kerajaan negeri untuk memastikan hasrat ini dicapai.

23. Di samping itu, Kabinet juga bersetuju agar penanaman kelapa sawit tidak digalakkan di kawasan baru tanah gambut. Manakala, penukaran guna tanah Hutan Simpan Kekal (HKL) bagi aktiviti penanaman sawit atau tanaman pertanian lain dilarang. Kawasan ini amat penting sebagai penyimpanan stok karbon serta kaya dengan khazanah semula jadi dan biodiversiti yang tidak ternilai kepada negara.

24. Selain itu, Kementerian juga akan melaksanakan penyediaan peta rasmi bagi kawasan sawit di seluruh negara untuk capaian umum bagi memenuhi kehendak ketelusan.

25. Maka, marilah kita bersama-sama mengembleng tenaga dan bersatu dalam memastikan industri sawit kita diusahakan secara mampan dan seterusnya menangkis dakwaan dan kecaman yang dilemparkan oleh pihak luar.

Tuan-tuan dan puan-puan,

26. Sekali lagi, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terutamanya kepada Perdana Menteri kita, Yang Amat Berhormat Tun Dr. Mahathir Bin Mohammad, menteri-menteri Kabinet dan juga Kerajaan-kerajaan negeri serta pihak industri yang telah bersama-sama membantu dalam mempromosi dan menyokong industri minyak sawit Malaysia, di peringkat tempatan dan juga antarabangsa.

27. Saya juga berasa amat bersyukur apabila Tun sendiri telah mempertahankan minyak sawit negara daripada ancaman negara-negara Eropah baru-baru ini dan memberi kerjasama serta pertimbangan bagi menjayakan program ini.

28. Akhir kata, saya yakin melalui kempen ini industri minyak sawit akan terus menjadi salah satu produk kebanggaan Malaysia. Besarlah harapan saya untuk mendapatkan penglibatan daripada semua pihak dalam menjadikan minyak sawit Malaysia sebagai produk yang bertaraf 5 bintang.

Sekian, terima kasih.