faqcontact complaintssitemapsawit 

UCAPAN YB PUAN TERESA KOK, MENTERI INDUSTRI UTAMA
MAJLIS TAKLIMAT MSPO DAN SESI DIALOG BERSAMA PENANAM SAWIT PERAK
23 JULAI 2019 (SELASA), 11.00 PAGI – 12.30 TENGAHARI
DEWAN MILLENIUM, KUALA KANGSAR, PERAK


Yang Berhormat Datin Mastura Mohd Yazid
Ahli Parlimen Kuala Kangsar

Yang Berbahagia Datuk Dr. Tan Yew Chong
Ketua Setiausaha
Kementerian Industri Utama

Yang Berusaha Encik Encik Chew Jit Seng
Ketua Pegawai Eksekutif
Majlis Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MPOCC)

Tuan-tuan dan puan-puan,

Selamat Pagi, Salam Sejahtera dan Salam Sayangi Sawitku.

Terlebih dahulu saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Majlis Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MPOCC) atas usaha menganjurkan Majlis Taklimat Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan Sesi Dialog bersama penanam sawit dan pekebun kecil di Negeri Perak. Saya juga ingin merakamkan perhargaan kepada tuan-tuan dan puan-puan yang sudi hadir pada pagi ini.

Tuan-tuan dan puan-puan,

2. Kerajaan sentiasa memberi tumpuan penting kepada usaha mengukuhkan industri sawit terutamanya memperkasakan pembangunan pekebun kecil bagi meningkatkan hasil pengeluaran dan seterusnya pendapatan. Matlamat ini hanya dapat dicapai melalui penyertaan aktif pekebun kecil dalam melaksanakan amalan pertanian baik melalui pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia atau Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO) dalam penanaman sawit.

3. Pelaksanaan Skim Pensijilan MSPO adalah langkah strategik bagi meningkatkan daya saing dan memperkukuhkan imej industri sawit negara. Ini adalah selari dengan keutamaan negara-negara pengimport dan pengguna di seluruh dunia yang semakin memberi tumpuan kepada produk pertanian yang dihasilkan melalui pengeluaran mampan dan selamat untuk pemakanan.

Tuan-tuan dan puan-puan,

4. Kementerian bersama agensi di bawahnya iaitu MPOB dan MPOCC giat mempertingkatkan penyertaan pekebun kecil dan pengusaha sawit bagi mematuhi prinsip-prinsip kemampanan pensijilan MSPO. Usaha sedang dipergiatkan oleh MPOB bagi meningkatkan penyertaan pekebun kecil persendirian melalui Kelompok Minyak Sawit Mampan atau SPOC dengan bantuan oleh Pegawai TUNAS. Pensijilan MSPO oleh pekebun kecil akan menjamin peningkatan produktiviti dan kualiti hasil buah sawit yang seterusnya menyumbang kepada peningkatan pendapatan pekebun kecil.

5. Saya dimaklumkan bahawa sehingga 30 Jun 2019, seluas 2.45 juta hektar atau 42% daripada 5.85 juta hektar tanaman sawit di Malaysia telah mendapat pensijilan MSPO. Pensijilan ini meliputi 2.1 juta hektar ladang dan 386,000 hektar pekebun kecil. Manakala, kilang buah sawit yang telah mendapat pensijilan MSPO adalah sebanyak 244 buah kilang atau 54% daripada keseluruhan kilang buah sawit di Malaysia. Selain itu, sehingga 30 Jun 2019, 124 daripada sejumlah 162 SPOC diseluruh negara telah mendapat pensijilan MSPO yang melibatkan penyertaan 12,000 pekebun kecil persendirian dengan keluasan kebun 46,000 hektar. Bagi Negeri Perak pula, 15 daripada 23 SPOC telah berjaya mendapat sijil MSPO. Ini melibatkan bilangan pekebun kecil persendirian seramai 1,830 orang dengan keluasan 4,778 hektar. Walau bagaimanapun keluasan ini adalah masih sangat rendah iaitu hanya 3.7% daripada jumlah keluasan tanaman sawit pekebun kecil persendirian seluas 128,000 hektar di negeri Perak.

Tuan-tuan dan puan-puan,

6. Kerajaan amat prihatin terhadap kos yang ditanggung oleh pekebun kecil bagi membiayai pelaksanaan pensijilan MSPO. Dalam hal ini, Kerajaan telah menyediakan bantuan penuh kepada pekebun kecil persendirian melaksanakan pensijilan MSPO yang merangkumi antaranya kos yuran pensijilan MSPO, latihan berkaitan MSPO, penyediaan rak penyimpanan bahan kimia dan peralatan perlindungan diri (PPE).

7. Selain itu, memandangkan tarikh mandatori MSPO semakin hampir, Kerajaan telah bersetuju untuk melanjutkan tarikh permohonan insentif MSPO dari 30 Jun 2019 ke 31 Disember 2019 kepada semua pengusaha sawit. Kerajaan juga telah meningkatkan kadar insentif kos pengauditan MSPO daripada 70% kepada 100% dan memberi insentif baharu kos persediaan MSPO sebanyak 50% bagi estet berkeluasan 40.46 hingga 1000 hektar. Insentif bagi pekebun kecil tersusun juga akan ditingkatkan daripada RM10 se hektar kepada RM55 se hektar.

Tuan-tuan dan puan-puan,

8. Kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah bagi menstabilkan harga sawit dan sentiasa memberi keutamaan bagi membantu pekebun kecil yang terjejas dari segi pendapatan akibat kejatuhan harga. Kerajaan telah dan akan meneruskan mengambil langkah-langkah memperluaskan pasaran minyak sawit dengan meneroka pasaran baharu meliputi negara Afrika dan rantau Asia Tenggara selain mengukuhkan pasaran sedia ada seperti di Republik Rakyat China, Negara Kesatuan Eropah, India dan Pakistan.

9. Kerajaan juga telah melaksanakan penggunaan adunan biodiesel sawit daripada 7% kepada 10% bagi kegunaan semua kenderaan enjin diesel di sektor pengangkutan di seluruh negara bermula 1 Februari lalu. Selain itu, kerajaan juga telah melaksanakan penggunaan adunan biodiesel sawit B7 secara mandatori di sektor industri bermula
1 Julai 2019. Penggunaan biodiesel sawit disamping dapat mengurangkan stok minyak sawit dapat menstabilkan harga sawit di pasaran dan seterusnya memberi manfaat kepada pekebun kecil sawit melalui peningkatan pendapatan.

Tuan-tuan dan puan-puan,

10. Sebelum saya akhiri ucapan, sekali lagi saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan kepada tuan-tuan dan puan-puan yang sudi meluangkan masa untuk menjayakan program pada hari ini. Saya juga mengambil peluang pada hari ini bagi mengadakan dialog bersama tuan-tuan dan puan-puan untuk mendapatkan maklum balas berhubung isu-isu yang dihadapi dalam mendapatkan pensijilan MSPO. Saya cukup yakin bahawa penglibatan semua pihak terutama pekebun kecil dan pengusaha sawit dengan memanfaatkan bantuan yang diberikan oleh kerajaan dan kesediaan melaksanakan penanaman sawit secara mampan akan memberi pulangan hasil dan pendapatan yang lumayan kepada pengusaha sawit.

11. Dengan harapan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Taklimat Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan sesi dialog bersama penanam sawit dan pekebun kecil di Kuala Kangsar, Perak pada pagi ini.

Sekian, terima kasih

Kementerian Industri Utama
23 Julai 2019