INFO UCAPAN

jata5

TEKS UCAPAN
YANG BERHORMAT PUAN TERESA KOK
MENTERI INDUSTRI UTAMA

SEMPENA

MAJLIS PERHIMPUNAN BULANAN MPI BIL 1/2020

BERTEMPAT

DEWAN SERBAGUNA, ARAS G, KEMETERIAN INDUSTRI UTAMA

PADA

14 JANUARI 2020 (SELASA)
JAM 2.30 - 5.00 PETANG


SALUTASI
Salam Hormat, Salam Sejahtera, Salam Komoditiku dan Salam Sayangi Komoditiku
Terima kasih saudara Pengacara Majlis
Yang Berhormat Datuk Seri Shamsul Mohd Akin, Timbalan Menteri Industri Utama
Yang Berbahagia Encik Ravi Muthayah, Ketua Setiausaha Kementerian Industri Utama
Timbalan Ketua Setiausaha

Setiausaha-setiausaha Bahagian

Ketua-ketua Pengarah Agensi

Ketua-ketua Pegawai Eksekutif Majlis

Seterusnya tuan-tuan dan puan-puan sekalian

PENDAHULUAN

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

1. Terlebih dahulu saya mengucapkan syukur kepada Tuhan kerana dengan limpah kurnianya kita dapat bersama-sama berkumpul pada petang ini menjayakan program Perhimpunan Kementerian Industri Utama (MPI) yang pertama bagi tahun 2020.

2. Sedar atau tidak sedar kita telah melangkah ke Tahun Baharu 2020. Masih belum terlambat saya rasa untuk mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2020 kepada semua warga Kementerian, Agensi dan Majlis yang hadir. Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang hadir atas sumbangan dan usaha yang telah diberikan sepanjang tahun 2019. Semoga prestasi dan pencapaian pada tahun lepas akan terus ditingkatkan dan tahun ini menjadi tahun yang lebih cemerlang buat MPI dan kita semua.

3. Di kesempatan ini juga, saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Yang Berbahagia Encik Ravi Muthayah yang telah dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Industri Utama berkuat kuasa mulai 23 Disember 2019 yang lalu.

PENCAPAIAN SEKTOR AGRIKOMODITI

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

4. Mengimbas kembali pencapaian MPI pada tahun lepas, cabaran utama yang dihadapi oleh kita semua ialah kemerosotan harga dan kejatuhan nilai eksport produk agrikomoditi. Bagi tempoh Januari hingga November 2019, sektor agrikomoditi yang terdiri daripada produk-produk sawit, getah, kayu kayan, koko, lada dan tembakau telah mencatatkan jumlah nilai dagangan sebanyak RM149.8 bilion manakala imbangan dagangan sebanyak RM78.7 bilion.

5. Selain itu, prestasi harga agrikomoditi pada tahun lepas telah menunjukkan peningkatan yang positif. Sebagai contoh, bagi sektor sawit harga purata minyak sawit mentah (CPO) telah meningkat kepada RM2,813 per tan pada bulan Disember berbanding RM2,037 pada Januari 2019. Trend peningkatan harga CPO yang dijangka akan lebih baik pada tahun ini dapat membantu menstabilkan harga dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan pendapatan pekebun kecil.

6. Kementerian juga telah berjaya melaksanakan pelbagai inisiatif untuk melonjakkan lagi daya maju dan daya saing industri agrikomoditi. Misalnya, Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) telah mencapai 62.2% yang meliputi 3.63 juta hektar daripada 5.85 juta hektar tanaman sawit di Malaysia.

7. Kementerian juga telah melaksanakan program biodiesel negara iaitu biodiesel B10 di sektor pengangkutan yang mandatori mulai Februari 2019 dan program biodiesel B7 di sektor industri yang mandatori mulai Julai 2019.

8. Sepanjang tahun 2019, sebanyak 84 Program Kempen Sayangi Sawitku yang dihebahkan di seluruh negara telah menunjukkan impak positif dengan lebih ramai rakyat Malaysia daripada pelbagai lapisan masyarakat tampil untuk menyuarakan sokongan terhadap industri sawit negara termasuk pemimpin utama negara, tokoh korporat, personaliti media, ketua masyarakat dan pelajar. Manakala industri seperti penerbangan, pelancongan dan hiburan juga turut bekerjasama menjayakan kempen ini melalui penajaan dan publisiti.

9. Kementerian turut memperkenalkan sistem belian getah secara atas talian iaitu My Rubber Online (MyROL). Sistem ini berupaya menawarkan harga yang lebih kompetitif dan memberi pulangan yang lebih tinggi kepada pekebun kecil getah. Ia juga dapat menangani isu berkaitan pembayaran Insentif Pengeluaran Getah (IPG) kerana sistem ini bukan sahaja dapat menjimatkan masa dan memendekkan proses permohonan tetapi juga dapat mengekalkan data pekebun kecil melalui server yang diintegrasikan dengan sistem IPG sedia ada.

10. Saya juga telah merasmikan pembukaan Pusat Industri Kenaf di Tebu Hitam, Rompin, Pahang dan Pusat Pemprosesan dan Pengeluaran Produk Kenaf di Saujana, Setiu, Terengganu pada
3 Disember 2019 sebagai kilang perintis pengeluaran produk-produk berasaskan fiber dan core kenaf. Pusat pemprosesan kenaf ini dijangka mampu mengeluarkan 500 tan fiber setahun dengan nilai sebanyak RM1.25 juta.

11. Dalam memastikan nilai eksport lada terus meningkat, Kementerian telah melaksanakan aktiviti penjenamaan semula dan pemasaran produk-produk Saraspice dengan memfokuskan kepada kaedah pemasaran yang lebih efektif dan berdaya saing di peringkat pasaran domestik dan antarabangsa. Penjualan produk-produk Saraspice setelah penjenamaan semula ini disasarkan berjumlah RM3 juta pada tahun ini.

PERANCANGAN TAHUN 2020

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

12. Menyedari akan kepentingan untuk memastikan sektor agrikomoditi terus kukuh dan kekal berdaya saing, Kementerian telah melancarkan Dasar Komoditi Negara (DKN) 2011 – 2020 pada tahun 2011 bagi menyediakan landasan ke arah pembangunan sektor agrikomoditi secara mampan dan berorientasikan pasaran.

13. Menerusi Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11) yang dilaksanakan pada tahun 2018, MPI telah menyediakan satu kertas strategi agrikomoditi. Beberapa strategi pembangunan sektor agrikomoditi yang merangkumi industri huluan dan hiliran telah ditambah baik berasaskan kepada permintaan pasaran.

14. Memandangkan tahun ini merupakan tahun terakhir bagi pelaksanaan RMKe-11, saya kira tahun ini adalah tahun yang mencabar bagi Kementerian dalam memastikan semua projek dan program yang dirancang dalam DKN dan RMKe-11 mencapai sasaran yang ditetapkan.

15. Oleh yang demikian, peruntukan sebanyak RM670.12 juta yang telah diluluskan dalam Belanjawan 2020 diharap dapat dibelanja dan diuruskan dengan sebaiknya. Peruntukan ini termasuk pelaksanaan bagi 77 projek pembangunan yang berjumlah RM410.6 juta. Saya percaya pihak Kementerian, Agensi dan Majlis telah pun mempunyai perancangan yang rapi dan teratur untuk memastikan semua projek yang dirancang dapat dilaksanakan serta dipantau mengikut jadual dan peruntukan yang diluluskan oleh Kerajaan.

16. Pada masa yang sama, Kementerian juga akan meneruskan misi ekonomi, promosi dan pelaburan di peringkat antarabangsa ke negara-negara yang berpotensi bagi meneroka pasaran baharu. Antaranya di rantau Asia Tengah seperti Kazakhstan, Uzbekistan, Kyrgyzstan, Tajikistan dan Turkmenistan bagi menstabilkan harga serta mempromosikan produk-produk komoditi.

HALA TUJU 2020 (WAY FORWARD)

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

17. Bagi memastikan sektor agrikomoditi terus memperkasakan ekonomi negara serta memberi manfaat kepada semua pemegang taruh, Kementerian sedang merangka strategi-strategi di bawah RMKe-12. Strategi ini selari dengan dasar Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) yang berteraskan kepada 3 prinsip utama iaitu economic empowerment, environment enhancement dan social re-engineering.

18. Untuk itu, MPI sedang merangka penyediaan Dasar Agrikomoditi Negara (DAKN), 2021 – 2030 bagi menggantikan Dasar Komoditi Negara (DKN) 2011 – 2020 yang telah menjadi rujukan utama dan hala tuju kepada industri agrikomoditi dalam tempoh satu dekad yang lalu. Sebagai permulaan, Kementerian akan mengadakan sesi pemukiman yang dijangka berlangsung pada pertengahan bulan Februari 2020 untuk memperhalusi strategi, sasaran dan pelan tindakan di bawah RMKe-12 serta meneliti pencapaian MPI sepanjang 10 tahun pelaksanaan DKN.

19. Sehubungan itu, saya menggesa Kementerian, Agensi dan Majlis untuk menyumbangkan idea dan input bagi membincangkan hala tuju dan inisiatif untuk membangunkan industri agrikomoditi negara untuk jangka pendek dan panjang. Sesi pemukiman ini adalah platform yang baik untuk mendapatkan pandangan dan cadangan penambahbaikan daripada pihak industri dan juga pekebun kecil sawit, getah, koko, lada dan kenaf.

PENUTUP

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

20. Di kesempatan ini sekali lagi, sempena dengan tahun baharu ini dengan azam yang baharu, saya ingin menyeru kepada semua warga MPI, Agensi dan Majlis supaya mempunyai semangat kerja yang utuh, saling berganding bahu dan kerja dalam satu pasukan dalam memastikan agenda dan matlamat organisasi tercapai. Sesebuah organisasi tidak mampu untuk terus berjaya dan cemerlang tanpa kerjasama dan sokongan padu antara satu sama lain.

21. Saya yakin motivasi, komitmen dan tindakan proaktif yang ditunjukkan oleh semua pegawai-pegawai Kementerian, Agensi dan Majlis dalam melaksanakan semua inisiatif, usaha dan sumbangan bersama-sama pihak industri dan pekebun kecil akan menjadikan sektor agrikomoditi terus berkembang dengan pesatnya. Oleh itu, marilah kita sama-sama memastikan kita semua mempunyai matlamat yang sama dalam menjayakan industri agrikomoditi negara.

22. Sebagai penutup, tidak lama lagi kita akan menyambut perayaan Tahun Baharu Cina pada 25 dan 26 Januari 2020. Di kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina, Gong Xi Fa Cai kepada mereka yang menyambut perayaan ini. Semoga sambutan perayaan seperti ini akan mengeratkan dan memperkukuhkan lagi hubungan perpaduan dan keharmonian antara kaum di negara Malaysia.

Sekian, terima kasih.

Bahagian Perancangan Strategik dan Antarabangsa
Kementerian Industri Utama
9 Januari 2020

jata4

UCAPAN YB PUAN TERESA KOK, MENTERI INDUSTRI UTAMA
MAJLIS TAKLIMAT MSPO DAN SESI DIALOG BERSAMA PENANAM SAWIT PAHANG
5 NOVEMBER 2019 (SELASA), 3.30 – 5.00 PETANG
DI KOMPLEKS DAGANGAN MAHKOTA, KUANTAN PAHANG


Yang Berhormat Dato’ Mohd Fadil Osman (TBC)
EXCO Alam Sekitar dan Perladangan Negeri Pahang,
merangkap ADUN Kemayan, Pahang

Yang Berusaha Encik Ravi Muthayah
Timbalan Ketua Setiausaha Komoditi
Kementerian Industri Utama

Yang Berusaha Encik Chew Jit Seng
Ketua Pegawai Eksekutif
Majlis Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MPOCC)

Yang Berusaha Dr. Ramle Moslim
Pengarah
Bahagian Penyelidikan Integrasi & Pengembangan
Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB)

Yang Berbahagia Dif-Dif Jemputan

Rakan-Rakan Media

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian

Salam Sejahtera dan Salam Sayangi Sawitku

Terlebih dahulu saya ingin merakamkan penghargaan kepada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Majlis Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MPOCC) atas usaha menganjurkan Majlis Taklimat Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan Sesi Dialog bersama penanam sawit dan pekebun kecil di Pahang. Saya juga ingin merakamkan perhargaan kepada tuan-tuan dan puan-puan yang sudi hadir pada petang ini.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

2. Kerajaan sentiasa memberi tumpuan kepada usaha mengukuhkan industri sawit terutamanya memperkasakan pembangunan pekebun kecil dan penanam sawit bagi meningkatkan hasil pengeluaran dan seterusnya pendapatan. Matlamat ini dapat dicapai melalui penyertaan aktif pekebun kecil dan penanam sawit dalam melaksanakan amalan pertanian baik melalui pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia atau Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO).

3. Pelaksanaan Skim Pensijilan MSPO adalah langkah strategik bagi meningkatkan daya saing dan memperkukuhkan imej industri sawit negara. Ini adalah selari dengan keutamaan negara-negara pengimport dan pengguna di seluruh dunia yang semakin memberi tumpuan kepada produk pertanian yang dihasilkan melalui pengeluaran mampan dan selamat untuk pemakanan. Oleh itu, Skim Pensijilan MSPO akan memastikan industri sawit negara yang lebih mampan dan kompetitif, sekaligus turut membantu meningkatkan pendapatan para pengusaha sawit negara.

Tuan-tuan dan puan-puan,

4. Kementerian bersama agensi di bawahnya iaitu MPOB dan MPOCC sedang giat mempertingkatkan penyertaan pekebun kecil, penanam sawit dan pengusaha sawit lain seperti kilang-kilang pemprosesan minyak sawit bagi mematuhi prinsip-prinsip kemampanan pensijilan MSPO. Usaha sedang dipergiatkan oleh MPOB bagi meningkatkan penyertaan pekebun kecil persendirian (PKP) melalui Kelompok Minyak Sawit Mampan atau Sustainable Palm Oil Cluster (SPOC) di 9 buah SPOC di seluruh negeri Pahang di mana para PKP akan dibantu oleh Pegawai TUNAS dari Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) untuk melaksanakan penanaman sawit secara terurus, mendirikan infrastruktur yang sesuai seperti stor penyimpanan racun dan baja, mendapatkan kelengkapan-kelengkapan Personal Protection Equipment (PPE) serta membantu dalam mengurus dan menyediakan dokumentasi pensijilan yang berkaitan bagi mendapatkan pensijilan MSPO kebun sawit secara berkelompok. Usaha pensijilan MSPO oleh para pekebun kecil, termasuk di bawah agensi-agensi kerajaan seperti FELDA, FELCRA, RISDA dan sebagainya, akan menjamin peningkatan produktiviti dan kualiti hasil buah sawit yang lebih tinggi. Selain itu, Kerajaan juga tetap prihatin terhadap pencapaian pengusaha-pengusaha sawit yang lain seperti estet, ladang dan kilang buah sawit untuk mendapat pensijilan MSPO.

5. Untuk makluman, sehingga 30 September 2019, seluas
3.19 juta hektar atau 55% daripada 5.85 juta hektar tanaman sawit di Malaysia telah mendapat pensijilan MSPO. Pensijilan ini meliputi kawasan estet dan ladang seluas 2.71 juta hektar ladang dan sebanyak 475,000 hektar milikan pekebun kecil. Manakala, kilang buah sawit yang telah mendapat pensijilan MSPO adalah sebanyak 313 buah kilang atau 70% daripada keseluruhan kilang buah sawit di Malaysia. Selain itu, dalam tempoh yang sama, 139 daripada sejumlah 162 Kelompok Minyak Sawit Mampan (SPOC) di seluruh negara telah mendapat pensijilan MSPO yang melibatkan penyertaan 16,000 orang PKP yang memiliki keluasan kawasan penanaman sawit seluas 62,600 hektar.

6. Bagi negeri Pahang, sukacita saya memaklumkan bahawa 8 daripada 9 SPOC di negeri ini telah dipersijilkan MSPO. Ini melibatkan seramai 776 orang PKP dengan keluasan tanah seluas 1,900 hektar. Walau bagaimanapun, keluasan yang dipersijilkan ini masih sangat rendah iaitu hanya 3.7% daripada keseluruhan 53,000 hektar yang menjadi kawasan tanaman sawit PKP di negeri Pahang.

7. Saya dimaklumkan bahawa antara punca ini berlaku adalah perlunya tuan-tuan pekebun kecil untuk menukarkan syarat nyata tanah dengan kerajaan negeri dan ini memakan kos yang agak tinggi. Sehubungan itu, Kerajaan telah memudahcara tuan-tuan pekebun kecil dengan menanggung kos permohonan. Sukacita juga dimaklumkan, Kementerian saya juga telah berbincang dengan YAB Menteri Besar dan Kerajaan Negeri Pahang mengenai kadar premium dan denda yang dikenakan ke atas para pekebun kecil yang mahu menukar syarat tanah mereka.

Tuan-tuan dan puan-puan,

8. Kerajaan amat prihatin terhadap kos yang ditanggung oleh pekebun kecil bagi membiayai pelaksanaan pensijilan MSPO. Dalam hal ini, Kerajaan telah turut menyediakan insentif bagi bantuan kepada pekebun kecil persendirian melaksanakan pensijilan MSPO yang merangkumi antaranya kos yuran pensijilan MSPO, latihan berkaitan MSPO, penyediaan rak penyimpanan bahan kimia dan peralatan perlindungan diri (PPE). Bagi memacu usaha pensijilan MSPO, Kerajaan telah melanjutkan tarikh permohonan insentif MSPO dari 30 Jun 2019 ke 31 Disember 2019 kepada semua pengusaha sawit.

9. Kerajaan juga telah meningkatkan kadar insentif kos pengauditan MSPO daripada 70% kepada 100% dan memberi insentif baharu kos persediaan MSPO sebanyak 50% bagi estet berkeluasan 40.46 hingga 1000 hektar. Insentif bagi pekebun kecil tersusun juga telah ditingkatkan daripada RM10 se hektar kepada RM55 se hektar. Dengan adanya penambahbaikan insentif-insentif dan usaha Kerajaan ini, diharap proses pensijilan MSPO tuan-tuan dan puan-puan dapat dipermudahkan.

Tuan-tuan dan puan-puan,

10. Sebelum saya akhiri ucapan, sekali lagi saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan kepada tuan-tuan dan puan-puan yang sudi meluangkan masa untuk bersama-sama dengan saya bagi menjayakan program pada petang ini. Saya cukup yakin bahawa penglibatan semua pihak pengusaha sawit dengan memanfaatkan bantuan yang diberikan oleh kerajaan dan kesediaan melaksanakan penanaman dan pengeluaran sawit secara mampan akan memberi pulangan hasil dan pendapatan yang lumayan kepada semua. Dengan harapan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Taklimat Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan sesi dialog bersama penanam sawit di Kuantan, Pahang pada petang ini.

Sekian, terima kasih

Kementerian Industri Utama
5 November 2019

  jata4

 

 

UCAPAN YB PUAN TERESA KOK, MENTERI INDUSTRI UTAMA
MAJLIS PERTUKARAN DOKUMEN PERJANJIAN PROJEK USAHASAMA
KAJIAN BIODIESEL SAWIT B30 ANTARA MPOB DAN UNIVERSITI TEMPATAN
DAN MAJLIS FLAG OFF KENDERAAN EURO 5 MENGGUNAKAN B20 USAHASAMA MPOB-JAMA
PADA 10 OKTOBER 2019, 11:00 – 12:30pm


Yang Berbahagia Dato’ Dr. Tan Yew Chong,
Ketua Setiausaha MPI

Yang Berbahagia Tan Sri Dato’Seri Mohd Bakke Salleh,
Pengerusi Lembaga MPOB

Yang Berusaha Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir,
Ketua Pengarah MPOB

YBhg. Profesor Dr. Raha Abdul Rahim
Naib Canselor, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM)

YBhg. Profesor Dr. Shamsul Sahibuddin
Pro-Naib Canselor, Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

YBhg. Profesor Dr. Rofina Yasmin Othman
Penolong Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi)
Universiti Malaya (UM)

YBhg. Dato’ Dr. Mazliham Mohd Su’ud
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif
Universiti Kuala Lumpur (UniKL)

YBhg. Profesor Madya Dr. Shahruddin Mahzan
Dekan, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

YBhg. Profesor And Chan
Dekan Fakulti Sains dan Kejuruteraan
Universiti Nottingham, Kampus Malaysia

Yang Berbahagia Dif-Dif Jemputan

Rakan-Rakan Media

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

Selamat pagi, salam sejahtera dan ‘Salam Sayangi Sawitku’

1. Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Naib Canselor dan wakil-wakil universiti kerana sudi melapangkan masa untuk hadir ke majlis yang cukup bermakna pada pagi ini. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan kepada MPOB yang menjemput saya menyaksikan acara pertukaran dokumen perjanjian kajian adunan B30 antara MPOB dan universiti-universiti yang terlibat.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

2. Seperti mana hadirin sedia maklum, Kerajaan telah melaksanakan Program Biodiesel Negara bermula dengan Program B5 yang telah dilaksanakan secara berfasa bagi sektor pengangkutan mulai Jun 2011 dan ditingkatkan ke B7 pada 2014. Seterusnya, adunan biodiesel sawit ditingkatkan kepada 10% dengan pelaksanaan Program B10 secara mandatori pada 1 Februari 2019 di sektor pengangkutan dan Program B7 pada 1 Julai 2019 di sektor industri. Pelaksanaan program biodiesel ini merupakan satu usaha yang sangat baik dalam memelihara keseimbangan dan kelestarian alam sekitar melalui penggunaan tenaga boleh baharu berasaskan minyak sawit.

3. Indonesia telah melaksanakan program B20 semenjak Januari 2016 dan berhasrat untuk meningkatkan adunan ke B30 pada tahun 2020. Pada masa ini, kajian B30 masih sedang dijalankan oleh Indonesia melibatkan kerjasama antara agensi kerajaan, Persatuan Pengeluar Biodiesel (APROBI) dan Persatuan Aotomotif Indonesia (GAIKINDO). Penggunaan B20 juga telah dilaksanakan pada sektor industri bermula Oktober 2018.

4. Industri minyak sawit sedang menghadapi cabaran yang besar dari segi harga minyak sawit yang rendah bersama persepsi negatif terhadap isu-isu kelestarian dan pemeliharaan hutan. Kesatuan Eropah akan menghadkan minyak sawit sebagai biobahan api pada tahap penggunaan 2019 bermula 2023 dan menyekat sepenuhnya pada tahun 2030. Pelbagai tindakan telah diambil oleh Kementerian Industri Utama untuk membetulkan persepsi negatif terhadap minyak sawit termasuk penyebaran maklumat sebenar berkenaan khasiat minyak sawit, penanaman sawit secara mampan, pembukaan pasaran baru eksport minyak sawit, penggalakkan pembangunan produk hiliran tambah nilai dan sebagainya. Salah satu langkah Kementerian untuk meningkatkan penggunaan minyak sawit dalam negara adalah melalui program biodiesesl negara.

5. Sebagai persediaan untuk meningkatkan penggunaan biodiesel sawit, Kerajaan menerusi MPOB sedang giat menjalankan ujian lapangan penggunaan adunan biodiesel melebihi 10% seperti B15, B20, B30 dan B100 di dalam Malaysia dan luar negara dengan pihak-pihak berkepentingan seperti Japan Automobile Manufacturers Association (JAMA), Tsinghua University, Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor, syarikat pengeluar/pengedar kenderaan (OEM) dan syarikat pengangkutan seperti FGV Transport Services Sdn Bhd. Selain itu, semua kenderaan MPOB di Ibu Pejabat MPOB turut telah menggunakan B20 semenjak Jun 2019 tanpa sebarang masalah.

6. Kajian B30 bersama 6 universiti iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknikal Melaka (UTeM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL MFI) dan Universiti Nottingham cawangan Malaysia adalah antara usaha untuk mencapai aspirasi Kerajaan bagi melaksanakan program B30 pada masa akan datang. Program ini melibatkan pakar-pakar automotif dari universiti-universiti tempatan dan dijangka akan memberikan impak yang besar kepada negara dengan gabungan kepakaran saintis MPOB dan ahli akedemia di universiti. Jumlah keseluruhan kos kajian B30 dengan universiti adalah RM2.5 juta selama dua setengah tahun.

7. Penglibatan ahli-ahli akademik dalam program nasional seperti Program Biodiesel Negara adalah usaha yang harus digalakkan. Menerusi kepakaran automotif dari universiti dan Malaysia Automotive, Robotics and IoT Institute (MARii), saya berharap data-data teknikal berkenaan kesesuaian B30 dapat dikumpul dan digunakan oleh Kerajaan pada masa hadapan. Pihak universiti juga dipohon untuk memberi keutamaan kepada kajian ini dan menyempurnakannya dalam tempoh masa yang ditetapkan. Universiti juga dialu-alukan untuk mempromosikan program usahasama ini dan menyalurkan maklumat-maklumat yang tepat kepada masyarakat umum mengenai kebaikan penggunaan biodiesel. Saya juga berharap dengan pewujudan Centre of Excellence (CoE) oleh MARii, ujian dan kajian mengenai kenderaan biodiesel dapat dipertingkatkan.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

8. Saya yakin para hadirin sedia maklum akan manfaat biodiesel pada alam sekitar dan ekonomi. Saya ingin tekankan disini bahawa pelaksanaan program biodiesel ini adalah merupakan langkah strategik Kerajaan bagi memastikan pengukuhan dan kestabilan harga minyak sawit dalam jangka panjang. Penggunaan biodiesel sawit turut akan menyumbang kepada kemampanan dan meningkatkan imej negara sebagai pengeluar minyak sawit kedua terbesar dunia.

9. Akhir kata, saya berharap usahasama ini akan membuahkan hasil yang positif bagi menyokong pelaksanaan program B30 pada masa akan datang.

Sekian, terima kasih.

Kementerian Industri Utama
7 Oktober 2019

TEKS UCAPAN YANG BERHORMAT PUAN TERESA KOK, MENTERI INDUSTRI UTAMA 
SEMPENA PROGRAM PERHIMPUNAN MPI, BIL 7/2019 
BERTEMPAT DI DEWAN SERBAGUNA, ARAS G, KEMENTERIAN INDUSTRI UTAMA
PADA 19 SEPTEMBER 2019 (KHAMIS) 11.00 pagi


Salam Hormat, Salam Sejahtera dan Salam Sayangi Sawitku

Yang Berhormat, Datuk Seri Shamsul Mohd Akin, Timbalan Menteri Industri Utama

Yang Berbahagia, Dato’ Dr Tan Yew Chong
Ketua Setiausaha Kementerian Industri Utama

Yang Berbahagia Datuk-Datuk, Datin-Datin,

Para warga kementerian, agensi serta rakan-rakan media yang sentiasa menyokong dan memberikan publisiti yang baik.

Seterusnya tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

PENDAHULUAN

1. Terlebih dahulu dipanjangkan kesyukuran kepada Tuhan kerana dapat kita bersama-sama pada hari ini berkumpul bagi program Perhimpunan Kementerian Industri Utama (MPI) pada pagi yang indah dan damai ini.

2. Saya juga ingin merakam ucapan terima kasih kepada semua warga MPI dan agensi yang telah terlibat dan bertungkus-lumus dalam menjayakan semua aktiviti Kementerian selama ini.

PENCAPAIAN SEKTOR AGRIKOMODITI BAGI TEMPOH JANUARI-JULAI 2019

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

3. Bagi tempoh Januari-Julai 2019, sektor agrikomoditi telah mencatatkan jumlah nilai dagangan (total trade) sebanyak RM93.2 bilion dengan lebihan imbangan dagangan (trade balance) sebanyak RM49.1 bilion. Pendapatan eksport produk komoditi bagi tempoh tersebut adalah sebanyak RM71.2 bilion atau 12.5% daripada keseluruhan pendapatan eksport negara. Nilai eksport komoditi mengalami penurunan sebanyak 4.6% berbanding tempoh yang sama pada tahun 2018 yang mencatatkan nilai sebanyak RM74.6 bilion.

4. Penurunan nilai eksport produk agrikomoditi ini adalah disebabkan oleh faktor kejatuhan harga komoditi, khususnya minyak sawit, produk oleokimia berasaskan sawit dan getah asli. Walaupun nilai eksport mengalami penurunan, kuantiti eksport produk sawit telah meningkat sebanyak 10.9% kepada 16.0 juta tan metrik.

5. Selain itu, pada suku kedua tahun 2019, aktiviti-aktiviti di peringkat huluan dan hiliran sektor agrikomoditi turut menyumbang sebanyak 6.0% atau RM20.8 bilion kepada jumlah keseluruhan KDNK negara.

TOHMAHAN BERKAITAN ISU KEBAKARAN HUTAN DI KALIMANTAN, INDONESIA DISEBABKAN OLEH PEMBUKAAN LADANG KELAPA SAWIT

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

6. Empat syarikat tempatan telah dinamakan oleh Kerajaan Indonesia sebagai punca berlakunya kebakaran dihutan negara itu iaitu IOI Corporation, Sime Darby Bhd, TDM Bhd. dan Kuala Lumpur Kepong Bhd.

7. Tuduhan tersebut adalah sangat serius dan boleh menjejaskan imej syarikat berkenaan dan secara tidak langsung memburukkan nama Malaysia selaku negara pengeluar sawit serta boleh menjejas akses produk sawit ke pasaran antarabangsa.

8. Berdasarkan rekod MPI, kesemua syarikat Malaysia tersebut merupakan antara syarikat yang mengamalkan amalan penanaman sawit secara mampan. Rekod ini adalah berdasarkan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO), Skim Pensijilan Kelestarian & Karbon Antarabangsa (ISCC) atau gabungan sistem pensijilan diiktiraf di peringkat antarabangsa.

9. Kesemua syarikat berkenaan bersedia untuk memberi kerjasama bagi menjawab dakwaan oleh Kerajaan Indonesia. Namun begitu, sehingga kini MPI masih belum menerima pengesahan dan laporan penuh daripada kesemua syarikat tersebut.

STATUS PROJEK PEMETAAN LADANG KELAPA SAWIT

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

10. Pada masa ini, MPI sedang mengumpulkan maklumat, peta dan data berkenaan sawit dan perhutanan untuk dijadikan sebagai input persediaan hujah balas terhadap Delegated Regulation yang dikeluarkan oleh Kesatuan Eropah (EU).

11. Input-input berkaitan pemetaan sawit dan perhutanan akan diteliti dan dianalisa oleh Pusat Infrastruktur Data Geospatial Negara (MaCGDI) dan Agensi Remote Sensing Malaysia (ARSM) dengan berpandukan kepada maklumat dan peta yang disediakan oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Jabatan Pertanian (DOA) serta agensi-agensi lain yang berkaitan. Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) akan mengemukakan maklum balas bagi maklumat yang dipohon dalam tempoh terdekat.

MISI EKONOMI DAN PROMOSI SAWIT/GETAH/KAYU BAGI TEMPOH JANUARI HINGGA SEPTEMBER 2019

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

12. MPI giat menjalankan misi ekonomi dan promosi ke atas sawit, getah dan kayu ke negara-negara yang berpotensi besar bagi mengukuhkan ekonomi Malaysia. Antara misi ekonomi dan promosi yang telah diadakan bagi tempoh Januari hingga September 2019 adalah seperti berikut:

• Misi Bersama Council of Palm Oil Producing Countries (CPOPC) ke Belgium pada 6 hingga 9 April 2019;

• Misi Ekonomi dan Promosi Sawit dan Kayu-kayan yang diketuai oleh YB Timbalan Menteri Industri Utama ke Arab Saudi pada 22 hingga 26 April 2019;

• Misi Ekonomi dan Promosi Sawit yang diketuai oleh saya ke United Kingdom, Belgium, Jerman, Itali dan Vatican City pada 3 hingga 13 Mei 2019;

• Misi Ekonomi dan Pelaburan Sawit dan Getah ke India pada 29 Julai hingga 2 Ogos 2019;

• Misi Ekonomi dan Promosi Sawit ke Vietnam dari 11 September 2019 hingga 14 September 2019;

• Program Globoil India 2019 ke Mumbai, India dari 25 September 2019 hingga 27 September 2019; dan

• Misi Ekonomi dan Promosi Sawit ke Negara-negara Afrika Timur (Republik Bersatu Tanzania, Republik Kenya dan Republik Demokratik Rakyat Ethiopia) yang dijaduallkan dari 28 September 2019 hingga 4 Oktober 2019 yang akan diketuai oleh saya sendiri.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

13. Pada perhimpunan kali ini saya ingin menyampaikan ucapan tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan kepada pegawai yang berjaya mendapat Pingat Perkhidmatan Cemerlang (PPC). Anugerah ini hanya diberikan kepada Pegawai Perkhidmatan Awam yang mencapai kecemerlangan yang luar biasa dalam tugas yang diamanahkan serta aktif dalam penglibatan di luar seperti aktiviti kesukarelaan, kemasyarakatan dan sukan yang boleh mengharumkan nama organisasi dan negara.

14. Akhir kata, perjumpaan pada tengahari ini amat penting bagi saya untuk menyatakan hasrat pencapaian kementerian kita agar dapat di kongsi bersama.

15. Selain itu, pertemuan ini akan menjadi landasan bagi saya untuk beramah mesra dengan pegawai-pegawai saya dalam suasana harmoni dan damai.

16. Perhimpunan ini juga adalah merupakan medan untuk saya mengungkapkan ucapan terima kasih di atas kerjasama yang telah diberikan kepada saya semasa saya menerajui kementerian ini. Tanpa sokongan dan kerjasama daripada anda semua, tidak mungkin saya dapat melaksanakannya.

Saya akhiri dengan serangkap pantun ;

Tinggi Bukit Gilang Gemilang,
Air Laut Tenang-tenangan,
Budi sedikit tak kan hilang,
Buat kenangan sepanjang zaman

 

TEKS UCAPAN YB PUAN TERESA KOK, MENTERI INDUSTRI UTAMA
MAJLIS PELANCARAN KOLABORASI KEMPEN SAYANGI SAWITKU BERSAMA MYDIN MOHAMED HOLDINGS BERHAD
5 SEPTEMBER 2019 DI MYDIN WHOLESALE HYPERMARKET, SUBANG JAYA


Yang Berbahagia Datuk Wira Dr. Haji Ameer Ali Mydin
Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad

Yang Berbahagia Datuk Dr. Kalyana Sundram
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Palm Oil Council

Yang Berbahagia Dato’ Joseph Lim Heng Ee
Pengasas dan Pengarah Urusan Global Green Synergy Sdn Bhd
Merangkap Ahli Lembaga Pengarah Malaysian Palm Oil Council

Ahli Lembaga Pengarah MPOC dan MYDIN Mohamed Holdings Berhad

Tetamu kehormat, wakil media, tuan-tuan dan puan-puan,

Selamat Tengahari dan Salam Sejahtera dan Salam Sayangi Sawitku.

Pertama sekali, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) terutamanya YBhg. Datuk Wira Dr. Ameer Ali Mydin atas sokongan yang telah diberi kepada Kementerian saya dalam menjayakan kempen Sayangi Sawitku. Saya juga teruja melihat ramai pengunjung Mydin USJ 1 dan saya berbesar hati kerana dapat bersama anda semua pada hari ini.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Kempen Sayangi Sawitku yang dilancarkan oleh Kementerian saya adalah bertujuan untuk menanam semangat kebanggaan dan penghargaan terhadap Minyak Sawit Malaysia dan sumbangannya kepada kesejahteraan dan ekonomi negara kita. Sejak pelancaran kempen ini pada Mac 2019, lebih ramai rakyat Malaysia daripada pelbagai lapisan masyarakat telah tampil untuk menyuarakan sokongan terhadap industri sawit negara termasuk pemimpin utama negara, tokoh korporat, personaliti media, ketua masyarakat, pelajar dan lain-lain. Manakala industri lain seperti penerbangan, pelancongan dan hiburan juga turut serta bekerjasama menjayakan kempen ini melalui penajaan dan publisiti.

Dalam hubungan ini, saya berbesar hati kerana dapat berkolaborasi bersama Mydin yang merupakan rangkaian runcit yang paling besar di negara kita. Tahun ini juga adalah tahun yang sangat istimewa untuk Mydin kerana meraikan ulang tahun mereka yang ke-62. Untuk itu, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Datuk Wira Dr. Ameer Ali Mydin atas kejayaan yang membanggakan ini. Bersama Mydin, kita akan menggiatkan promosi Kempen Sayangi Sawitku melalui rangkaian mereka di seluruh Malaysia.

Mengambil contoh Mydin USJ 1 ini, kita dapat lihat terpaparnya pelbagai poster dan maklumat mengenai minyak sawit dan juga kempen Sayangi Sawitku. Poster-poster seperti ini juga terpapar di rangkaian Mydin di seluruh Malaysia, dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang hinggalah ke Mutiara Rini, Johor juga di Kuala Terengganu, Terengganu dan Kubang Kerian, Kelantan. Kolaborasi bersama Mydin ini akan membantu dalam menyampaikan mesej positif berkenaan sawit Malaysia kepada orang ramai terutamanya pengunjung Mydin di seluruh Malaysia.

Selain itu, Karnival Kempen Sayangi Sawitku bersama Mydin juga dianjurkan dengan pelbagai aktiviti menarik serta interaktif dan saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menjemput tuan-tuan dan puan-puan untuk meluangkan masa di karnival ini untuk lebih mengetahui tentang minyak sawit Malaysia dan sumbangannya. Penyertaan dan sokongan anda dalam karnival ini secara tidak langsung akan membantu dalam menjayakan Kempen Sayangi Sawitku.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Untuk makluman, minyak sawit merupakan minyak sayuran nombor satu di dunia. Sejak 2005, minyak sawit telah menandingi minyak sayuran lain dari segi pengeluaran, perdagangan dan penggunaan. Jika dibandingkan dengan minyak sayuran yang lain, minyak sawit menyumbang 36% kepada pengeluaran minyak sayuran dunia, 59% perdagangan minyak sayuran dunia, dan 35% penggunaan minyak sayuran global pada tahun lepas. Malaysia sebagai pengeluar minyak sawit kedua terbesar di dunia telah memberi sumbangan penting kepada dunia.

Keupayaan serbaguna (versatility) minyak sawit telah menjadikannya pilihan utama pengguna dan pemain industri dalam aplikasi makanan dan bukan makanan. Lebih 80% daripada keluaran minyak sawit digunakan untuk sektor makanan, sama ada kegunaan untuk isi rumah atau industri makanan. Disebabkan penggunaan minyak sawit sangat meluas, ia telah menjadi satu elemen penting dalam kehidupan harian kita.

Kebaikan minyak sawit dari aspek kesihatan telah dibuktikan secara saintifik melalui pelbagai kajian klinikal yang telah dijalankan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) serta institusi-institusi penyelidikan di seluruh dunia. Kajian-kajian tersebut menunjukkan minyak sawit adalah berkhasiat, kaya dengan Provitamin A beta karoten dan Vitamin E yang mampu meningkatkan tahap kesihatan. Minyak sawit juga bebas daripada lemak trans, kolestrol dan mempunyai kandungan asid oleik tinggi yang merupakan sumber nutrien yang baik.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Minyak sawit Malaysia terkenal dengan kualiti yang tinggi dan pengeluaran yang mampan. Kerajaan sentiasa memastikan kualiti-kualiti ini terjaga melalui polisi dan regulasi berkenaan kemampanan khususnya pensijilan MSPO bagi menjamin perkembangan dan daya saing industri sawit Malaysia.

Namun demikian, industri sawit negara kini berhadapan cabaran persepsi negatif dari aspek kemampanan terutamannya di negara-negara Barat seperti kempen anti minyak sawit yang mengaitkan industri sawit sebagai penyumbang kepada penebangan hutan dan kemusnahan biodiversiti.

Kerajaan melalui Kementerian Industri Utama dengan sokongan Kementerian-Kementerian dan agensi-agensi lain akan meneruskan usaha untuk melawan persepsi negatif dan langkah diskriminasi ke atas industri sawit negara melalui rundingan diplomatik serta pembentangan fakta saintifik berkenaan kemampanan industri sawit Malaysia. Melalui Kempen Sayangi Sawitku juga, Kerajaan ingin menggalakkan rakyat Malaysia bersama-sama mempertahankan industri sawit negara dan menjadi jurucakap sawit melalui pendekatan ‘from Malaysia, we speak to the world’.

Oleh itu, sekali lagi saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Mydin atas sokongan padu dalam menjayakan kempen dan karnival ini. Saya percaya inisiatif ini mampu memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia mengenai kebaikan dan khasiat minyak sawit serta cabaran yang dihadapi oleh industri sawit negara.

Dengan ini, saya dengan sukacitanya melancarkan Majlis Kolaborasi Kempen Sayangi Sawitku bersama Mydin.

Sekian, terima kasih.

Kementerian Industri Utama
5 September 2019