faqcontact complaintssitemap pdpk 

MEDIA RELEASE

mpi
KENYATAAN MEDIA


KEMENTERIAN INDUSTRI UTAMA
SESI KONSULTASI BAJET 2019 KEMENTERIAN INDUSTRI UTAMA:
13 TOPIK UTAMA DENGAN DI DOMINASI ASPEK HALA TUJU POLISI PEMAIN INDUSTRI KOMODITI YANG KOMPREHENSIF


1. Sesi Konsultasi Bajet 2019 Kementerian Industri Utama (MPI) berlangsung di Dewan Serbaguna Aras G, dipengerusikan oleh Menteri Industri Utama, YB Puan Teresa Kok.

2. Kementerian menerima 13 topik berkaitan usul dan cadangan daripada pemain industri melibatkan antaranya kos sara hidup dan pendapatan pekebun kecil yang munasabah dan stabil, peningkatan produktiviti komoditi, isu tenaga buruh, mekanisasi dan automasi, Revolusi Industri 4.0.

3. Di samping itu, topik berhubung pembangunan modal insan dalam sektor komoditi, kemampanan dan kelestarian industri komoditi, sumber bahan mentah yang mencukupi, gaji minimum, promosi dan perdagangan, keselamatan makanan (food safety) dan hala tuju polisi turut diutarakan.

4. Kementerian akan mengangkat keperluan hala tuju polisi industri komoditi yang lebih komprehensif melalui konsultasi Bajet 2019 ini kepada Kementerian Kewangan bagi menjamin kepentingan pembangunan industri komoditi dalam formulasi Bajet 2019 kelak.

5. Kementerian juga telah menerima beberapa cadangan bagi pengecualian cukai berganda dan SST dalam beberapa perkara melibatkan pembungkusan produk komoditi, promosi penggunaan biodesel dan produk industri kenaf.

6. Sebagai contoh, antara yang diusulkan oleh pemain industri adalah beberapa insentif bagi menggalakkan aktiviti nilai tambah kepada produk berasaskan getah.

7. Sesi konsultasi yang melibatkan 180 wakil industri mengumpulkan lebih 30 usul dan cadangan, selain 119 usul serta cadangan dalam bentuk bertulis untuk diangkat sebagai pertimbangan di dalam Bajet 2019 dalam usaha mengekalkan kemampanan dan daya saing industri komoditi negara seperti yang dihasratkan oleh pemain industri komoditi, pemegang taruh, pekebun kecil serta rakyat Malaysia keseluruhannya.

Kementerian Industri Utama
7 Ogos 2018
Putrajaya

mpi
KENYATAAN MEDIA


YANG BERHORMAT PUAN TERESA KOK SUH SIM, MENTERI INDUSTRI UTAMA
PERASMIAN PERSIDANGAN INDUSTRI GETAH KEBANGSAAN 2018
TH HOTEL, ALOR SETAR, KEDAH
10 JULAI 2018

1. YB Puan Teresa Kok Suh Sim, Menteri Industri Utama pada hari ini telah merasmikan Persidangan Industri Getah Kebangsaan 2018 anjuran Lembaga Getah Malaysia (LGM) dengan tema ‘Getah Kita, Masa Depan Kita’ bertempat di TH Hotel, Alor Setar, Kedah.

2. Turut hadir di majlis ini ialah YB Tuan Shamsul Iskandar bin Md. Akin, Timbalan Menteri Industri Utama, YBhg. Datuk Zurinah Pawanteh, Ketua Setiausaha Kementerian Industri Utama, Dr. Zairossani bin Mohd. Nor, Ketua Pengarah LGM dan YBhg. Dato’ Wan Ahmad Shabri Zainuddin Wan Mohamad, Ketua Pengarah RISDA

3. Objektif utama penganjuran persidangan kali ini adalah untuk menyampaikan maklumat terkini mengenai pemindahan teknologi, amalan pertanian baik dan membincangkan isu-isu semasa dalam industri getah. Persidangan ini juga merupakan medan perbincangan dua hala antara LGM dan golongan sasar untuk berbincang dan menyelesaikan isu-isu dari akar umbi secara terus.

4. Majlis ini dihadiri oleh 250 orang peserta termasuk pekebun kecil, pemproses, usahawan getah dan juga mereka yang terlibat secara langsung dalam industri getah.

5. Persidangan selama dua hari ini melibatkan sejumlah 25 sesi pembentangan kertas kerja yang menyentuh topik-topik berhubung penyelidikan, pembangunan, pengembangan teknologi dan usahawan dalam industri getah negara. Pembentang kertas kerja pula merupakan pakar-pakar industri getah daripada agensi penyelidikan dan pembangunan, agensi pelaksana kerajaan dan swasta serta pemproses dan pengilang produk berasaskan getah.

Kementerian Industri Utama
6 Julai 2018

KENYATAAN MEDIA
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI (MPIC)


PELANJUTAN PELAKSANAAN SKIM EKSPORT MINYAK SAWIT MENTAH TANPA DUTI EKSPORT

Skim Eksport Minyak Sawit Mentah Tanpa Duti Eksport telah dilaksanakan mulai 8 Januari 2018 hingga 7 April 2018 untuk mengurangkan stok minyak sawit dan mengukuhkan harga pasaran minyak sawit. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi akan melanjutkan pelaksanaan Skim Eksport Minyak Sawit Mentah Tanpa Duti Eksport sehingga 30 April 2018. Walau bagaimanapun, pengecualian duti eskport ini akan diberhentikan lebih awal sekiranya stok minyak sawit menurun ke paras 1.6 juta tan metrik.

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi
6 April 2018

KENYATAAN MEDIA


MAJLIS PERASMIAN PROGRAM NEGARAKU SAWITKU
SMK SULTAN ABDUL AZIZ
TELUK INTAN, PERAK

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong telah merasmikan Program Negaraku Sawitku di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abdul Aziz, Teluk Intan.

2. Dalam ucapan perasmian program tersebut, Datuk Seri Mah Siew Keong telah menegaskan kerajaan bakal melipat gandakan usaha untuk memupuk kesedaran berkenaan kepentingan industri sawit negara dikalangan seluruh rakyat Malaysia yang berbilang latar.

3. Sokongan kolektif yang berterusan daripada seluruh rakyat Malaysia mestilah dipupuk terlebih dahulu dikalangan kanak-kanak supaya mereka akan meneruskan kegemilangan industri ini, yang dijangkakan akan terus menjadi sumber utama ekonomi negara melampaui aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50).

4. Dalam hal ini, Datuk Seri Mah Siew Keong juga memaklumkan bahawa Kementerian sedang dalam proses mengubal transformasi industri sawit melalui Pelan TN50 dan oleh itu, sesi “engagement” bersama golongan muda adalah penting bagi memastikan industri sawit akan terus kekal relevan dan berdaya saing, disebalik cabaran hebat yang sentiasa mendatang.

5. Program ini merupakan program siri kedua selepas yang pertama telah diadakan di SMK Convent Kajang, Selangor dan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, program ini akan turut diperluaskan ke sekolah-sekolah lain sebagai usaha pihak Kementerian untuk meningkatkan pendedahan dan pengetahuan para pelajar kepada industri sawit.

6. Kerajaan melalui agensi-agensi berkenaan sawit seperti Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) juga menawarkan pelbagai latihan dan kursus kemahiran bertaraf sijil dan diploma bertujuan untuk melahirkan tenaga kerja yang terlatih untuk berkhidmat dalam industri sawit.

7. Industri sawit telah memberi banyak faedah dan manfaat kepada negara serta telah membuka banyak peluang pekerjaan yang merangkumi pekerjaan di sektor huluan dan hiliran sawit. Kemajuan pesat industri sawit telah menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih tiga juta penduduk Malaysia.

DATUK SERI MAH SIEW KEONG
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
5 Mac 2018

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong bersama, Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Ahmad Kushairi melihat lukisan mural bertemakan sawit yang dilukis oleh pelajar SMK Sultan Abdul Aziz sempena program Negaraku, Sawitku.

KENYATAAN MEDIA
YB DATUK SERI MAH SIEW KEONG
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI


EKSPORT SARUNG TANGAN GETAH PADA TAHUN 2017 MENCECAH PARAS TERTINGGI
19 FEBRUARI 2018, KUALA LUMPUR

1. Datuk Seri Mah Siew Keong, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi telah menghadiri “Majlis Makan Malam Bersama Kapten Industri” anjuran Majlis Promosi Eksport Getah Malaysia (MREPC).

2. Eksport sarung tangan getah di Malaysia pada tahun 2017 telah mencecah paras yang tertinggi dalam sejarah, berikutan pemulihan yang berterusan dalam pertumbuhan dan permintaan dunia. Bagi tahun 2017, eksport meningkat dari tahun ke tahun dengan kadar 19.4% iaitu RM 15.9 bilion berbanding RM13.3 bilion bagi tahun 2016.

3. Pada masa ini, Malaysia merupakan pembekal terbesar dunia bagi sarung tangan getah dengan lebih 60% syer dalam pasaran dunia dari segi kuantiti. China merupakan salah satu pasaran eksport yang paling pesat berkembang dengan nilai eksport ke China mencecah RM906.9 juta pada tahun 2017 berbanding RM362.2 juta pada tahun 2016, mencatatkan pertumbuhan cemerlang sebanyak 250%. Selain China, eksport sarung tangan getah Malaysia ke Jerman dan Jepun juga meningkat masing-masing kepada RM1.26 bilion dan RM1.1 bilion berbanding RM1.08 bilion dan RM820 juta pada tahun 2016. Walau bagaimapun, Amerika Syarikat masih kekal sebagai pasaran terbesar Malaysia bagi sarung tangan getah dengan pertumbuhan sebanyak 24% dan nilai eksport mencecah RM5.6 bilion bagi tahun 2017, berbanding dengan RM4.53 bilion pada tahun 2016.

4. Berdasarkan prestasi eksport yang memberangsangkan pada tahun 2017, Malaysia dijangka akan terus mendominasi pasaran dunia bagi sarung tangan getah khususnya untuk kegunaan dalam sektor kesihatan. Pihak industri yakin akan dapat mencapai sasaran 65% syer eksport dunia bagi sarung tangan getah pada tahun 2020. Pada tahun 2017, eksport sarung tangan getah adalah dianggarkan sebanyak 228 bilion unit dan dijangkakan akan meningkat kepada 287 bilion unit pada tahun 2020.

5. Sejajar dengan ini, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) menerusi Majlis Promosi Eksport Getah Malaysia (MREPC), akan meneruskan aktiviti pemasaran yang berkesan untuk meningkatkan kesedaran penggunaan sarung tangan serta mempromosikan sarung tangan yang berkualiti dari Malaysia.

6. Pihak MPIC pada masa ini juga mensasarkan aktiviti promosi di pasaran-pasaran lain yang mempunyai potensi pertumbuhan yang tinggi seperti negara-negara di rantau ASEAN, khususnya Filipina dan Myanmar. Untuk itu, MREPC telah mengenalpasti beberapa program untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan penggunaan sarung tangan dalam sektor kesihatan dan mempromosikan sarung tangan getah perubatan berkualiti buatan Malaysia.

Kementerian Perusahaan Perladangan Dan Komoditi
19 Februari 2018

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong telah menghadiri satu perjumpaan bersama dengan pemain industri sarung tangan getah. Turut hadir pada perjumpaan ini termasuk Datuk Zurinah Pawanteh, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Lim Wee Chai, Pengerusi Eksekutif Top Glove Corporation Bhd, Dato’ Dr. Ong Eng Long, Presiden Persatuan Pengilang Produk Getah Malaysia, Dr. Supramaniam, Timbalan Presiden Persatuan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia, En. Kuan Mun Leong, Pengarah Urusan Hartalega Sdn Bhd, En. Lawrence Lim Siau Tian, Pengarah Eksekutif Kossan Rubber Industries Bhd, En. Tan Swee Hua, Pengarah Eksekutif Getahindus (M) Sdn Bhd, dan En. Ong Boon Kee, CEO G.B. Industries Sdn Bhd.