faqcontact complaintssitemap pdpk 

MPIC

KENYATAAN MEDIA
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI

YB DATO’ DR MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI

25 MAC 2020 (RABU), PUTRAJAYA


HUBUNGAN PERDAGANGAN DAN INDUSTRI MINYAK SAWIT MALAYSIA – INDIA DIJANGKA BERTAMBAH BAIK
DENGAN KEPUTUSAN KERAJAAN TIDAK MEMPERBAHARUI 5 PERATUS DUTI IMPORT

 

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

1. India sememangnya merupakan pengimport utama minyak sawit Malaysia dengan sejarah hubungan yang telah diwujudkan sejak 6 dekad yang lalu. Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini, beberapa siri peristiwa telah mencetuskan tren kejatuhan signifikan dalam eksport minyak sawit Malaysia ke India. Antaranya pengenalan duti import 5 peratus ke atas produk minyak sawit ditapis dari Malaysia bermula pada 4 September 2019. Dalam hal ini, Malaysia menyambut baik tindakan India untuk tidak memperbaharui arahan tersebut pada 4 Mac 2020.

2. Bagi pihak YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Kabinet Malaysia, kami mengalu-alukan serta mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan India atas keputusan ini. Kerajaan baharu melihat langkah Kerajaan India ini sebagai positif yang menandakan keterbukaan untuk mewujudkan semula hubungan rapat dari aspek perdagangan dan budaya yang telah lama terjalin di antara kedua-dua negara. Bagaimanapun, Malaysia juga mengakui bahawa kedua-dua negara perlu berbincang lebih lanjut mengenai beberapa isu termasuk notifikasi sekatan eksport minyak sawit ke India dan ketidakseimbangan perdagangan yang berpihak kepada Malaysia.

3. Apabila keadaan pandemik COVID-19 telah pulih, saya akan mengetuai delegasi Malaysia ke India untuk membincangkan hala tuju strategik yang berkaitan dengan perdagangan, khususnya dalam sektor komoditi demi manfaat kedua-dua negara. Saya sangat yakin dengan sejarah hubungan rapat antara kedua-dua negara, usaha Malaysia akan diterima baik oleh Kerajaan India.

4. Dalam hal ini, YAB Perdana Menteri Malaysia bersedia untuk bertemu dengan TYT Perdana Menteri India, Narendra Modi untuk mengeratkan lagi hubungan baik antara kedua-dua negara.

5. Saya juga turut berdoa agar keadaan pandemik COVID-19 yang kini dialami oleh seluruh dunia segera pulih dan rakyat dapat menjalani kehidupan seperti biasa.

 

Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut sila hubungi:
Puan Siti Hajar Zulkefle
Pegawai Komunikasi Strategik II
Unit Komunikasi Korporat
Tel: 03 - 88873381 / 017-3915951
Faks: 03-8887 8205