faqcontact complaintssitemapintranet pdpk 

KUALA LUMPUR, 10 Ogos -- Eksport getah asli Malaysia berjumlah 38,587 tan pada Jun 2020 meningkat sebanyak 14.2 peratus daripada 33,780 tan pada Mei 2020, menurut Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata destinasi utama eksport getah asli ialah China iaitu 68.1 peratus daripada jumlah eksport pada Jun 2020 diikuti Finland (4.2 peratus), Jerman (3.8 peratus), Amerika Syarikat (2.9 peratus) dan Taiwan (2.7 peratus).


“Sarung tangan getah masih menjadi item eksport utama dengan nilai eksport meningkat sebanyak 30.7 peratus daripada RM2.13 billion pada Mei 2020 kepada RM2.78 billion pada Jun 2020,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata industri pembuatan sarung tangan getah merupakan industri utama dengan penggunaan sebanyak 34,358 tan atau 77.7 peratus daripada jumlah keseluruhan penggunaan domestik.
Penggunaan getah asli di peringkat domestik pada Jun 2020 ialah 44,217 tan meningkat sebanyak 8.7 peratus daripada bulan sebelumnya, katanya.
Mohd Uzir berkata pengeluaran getah asli Malaysia meningkat 59.3 peratus pada Jun 2020 kepada 33,531 tan daripada 21,044 tan pada bulan sebelumnya.
Bagaimanapun perbandingan antara tahun ke tahun pula menunjukkan penurunan sebanyak 8.9 peratus daripada angka pada bulan yang sama 2019.
“Stok getah asli turut mencatatkan penurunan pada Jun 2020 sebanyak 12.6 peratus kepada 254,105 tan daripada 290,607 tan pada Mei 2020,” katanya.
Beliau berkata harga purata bagi lateks pekat merekodkan peningkatan kepada 479.90 sen sekilogram berbanding Mei 2020 (432.16 sen sekilogram) manakala Getah Mutu Malaysia 20 (SMR 20) juga menokok kepada 484.33 sen sekilogram daripada 470.13 sen sekilogram bagi tempoh yang sama.
-- BERNAMA

https://www.bernama.com/bm/ekonomi/news.php?id=1868810
Sumber: bernama.com